KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-38 menegaskan beliau tidak pernah mengabaikan aspek penting dalam siasatan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Ramli menegaskan perkara itu ketika disoal balas peguam Mohd. Haijan Omar yang mewakili Guan Eng berhubung isu penglibatan seorang ahli perniagaan dengan sebuah syarikat lain.
Terdahulu, beliau memaklumkan tidak mempunyai pengetahuan mengenai penglibatan Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli terhadap VST Cemerlang Sdn. Bhd. yang menjadi pembida projek mega di Pulau Pinang.
Peguam: Selain Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG) memasuki tender terbuka, syarikat VST Cemerlang juga masuk ‘open tender’ (tender terbuka)?
Saksi: Ya
Peguam: Siapa VST Cemerlang ini?
Saksi: Adalah syarikat pembida yang lain.
Peguam: Hasil siasatan tuan, siapakah yang meletakkan VST Cemerlang untuk bertanding?
Saksi: Saya tidak pasti.
Peguam: Tahu atau tidak Datuk Zarul sebenarnya yang ‘planted’ (ditempat) dalam VST Cemerlang?
Saksi: Saya tidak pasti, yang saya tahu Datuk Zarul syarikat CZBUCG.
Peguam: Tuan tidak tahu Datuk Zarul ‘ada tangan’ dalam meletakkan VST Cemerlang yang ada kaitan dengannya untuk membida?
Saksi: Saya tidak tahu.
Peguam: Awak tidak siasat kaitan Zarul dengan VST Cemerlang?
Saksi: Betul
Peguam: Awak tidak lihat kenapa, apa sebab Zarul dalam VST dalam siasatan?
Saksi: Ya
Peguam: Tuan telah abaikannya dalam siasatan
Saksi: Saya tidak setuju.
Terdahulu, berdasarkan pernyataan saksi, Zulhilmi memaklumkan CZBUCG adalah syarikat terbaik yang dinilai pembida. Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bersambung pada 23 Julai ini.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk suapan wang RM3.3 juta.
Ia bagi membantu syarikat milik Zarul untuk dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.34 juta antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan akan diperoleh Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Kesalahan itu dilakukan berhampiran sebuah hotel di Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini pada pukul 12.30 tengah malam hingga pukul 2 pagi, Mac 2011.
Selain itu, Guan Eng turut berdepan dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.- KOSMO! ONLINE














