SEREMBAN – Ahli kariah Masjid Batang Benar, Nilai terkejut apabila sebuah mesin penapis air yang diletakkan di masjid berkenaan telah dicuri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batang Benar, Muhammad Jailani Ahmad Zawawi berkata, kejadian disedari imam masjid selepas solat isyak malam kelmarin.
“Imam mendapati mesin penapis air yang terletak di bahagian dalam pekarangan masjid telah tiada. Terdapat kesan potongan pada hos mesin berkenaan, dipercayai dipotong,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, sebelum ini kes pecah tabung pernah berlaku, tetapi telah lama tidak berulang selepas pihak masjid mengambil inisiatif memasang televisyen litar tertutup (CCTV).
“Laporan polis telah dibuat oleh ahli kariah masjid dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak berkuasa,” katanya.
Rakaman CCTV menerusi dua klip video memaparkan dua lelaki menyelinap ke kawasan masjid dan memotong hos mesin penapis air tersebut kemudian mengangkutnya ke dalam but sebuah kereta yang diparkir di luar masjid. – KOSMO! ONLINE