PETALING JAYA – Hasil tambahan sehingga RM10 bilion setahun menerusi peluasan skop Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) boleh dimanfaatkan kerajaan untuk kepentingan rakyat.
Penganalisis kewangan Korporat dari Ncode Academy Sdn. Bhd., Mohd. Al Adzha Johar berkata, peluasan skop SST adalah bertepatan kerana banyak ‘pembetulan’ kewangan perlu diperbaiki kerajaan ketika ini.
“Antara yang wajar ditambah baik dengan hasil tambahan itu termasuk dalam sektor kesihatan seperti menambah bilangan doktor dan jururawat serta ubat-ubatan.
“Dengan pertambahan sehingga RM10 bilion setahun menerusi peluasan skop SST, banyak yang boleh dilakukan kerajaan untuk manfaat rakyat kebanyakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mulai hari ini, kerajaan akan memperluaskan skop SST yang antaranya untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan meningkatkan hasil bagi menambah baik mutu jaringan keselamatan sosial tanpa membebankan rakyat terbanyak.
Peluasan skop SST dijangka menyumbang kutipan tambahan kira-kira RM10 bilion setahun, sekali gus menjadi antara strategi utama dalam agenda reformasi fiskal Kerajaan Madani.
Mohd. Al Adzha seterusnya berkata, pertambahan hasil sebanyak RM10 bilion setahun juga boleh digunakan untuk mempertingkatkan mutu pengangkutan awam serta menangani isu kesesakan di pintu masuk negara.
Ujar beliau, kerajaan tidak boleh berterusan bergantung kepada dividen Petronas memandangkan pasaran minyak global yang tidak menentu.
“RM10 bilion ini juga memberi lebih kemampuan kepada negara untuk mempertingkatkan aspek sekuriti makanan dan pertahanan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr. Mohd. Shahid Mohd. Noh berkata, hasil tambahan sehingga RM10 bilion setahun menerusi peluasan skop SST akan memberi ruang kepada kerajaan mempertingkatkan pembangunan.
Menurut beliau, menerusi pertambahan perbelanjaan pembangunan, lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan untuk rakyat.
Bagaimanapun, menurut beliau, kerajaan harus mengawal dari sudut harga barang kerana mungkin terdapat pihak yang akan cuba mengambil kesempatan menaikkan harga.
“Kesan SST terhadap harga barang mungkin tidak drastik dan kita pernah ada pengalaman melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Sesebuah negara maju, setiap pendapatan adalah cukai dan kita sedang menuju ke arah itu walaupun belum komprehensif.
“Singapura sudah lama menekankan aspek cukai dan lama-kelamaan (rakyat) dapat menyesuaikan diri,” katanya.















