MIAMI – Juventus menganggap perlawanan menentang Real Madrid pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab (CWC) 2025 di Stadium Hard Rock awal pagi esok merupakan aksi berbeza jika dibandingkan dengan saingan peringkat kumpulan.
Jurulatih Juventus, Igor Tudor mahu anak-anak buahnya melupakan kekalahan besar 2-5 kepada Manchester City pada aksi terakhir Kumpulan G Jumaat lalu dan memberikan sepenuh fokus menjelang perlawanan menentang Real.
Beliau berkata, masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki skuad The Old Lady sekiranya mereka mahu melakar kejutan dengan menyingkirkan Real dan meneruskan kemaraan ke pusingan suku akhir.
“Kekalahan sebelum ini memang sangat menyakitkan dan saya perlu akui, kami gagal untuk mengeluarkan permainan sebenar. Oleh itu, kami akan memperbaiki kelemahan yang ada sebelum aksi bertemu Real.
“Inilah bola sepak, banyak perkara yang tidak dijangka boleh berlaku. Sekarang semua pemain perlu mendapatkan rehat yang cukup sebelum kami mengalihkan fokus ke arah perlawanan tersebut,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah Juventus, Manuel Locatelli menggesa rakan sepasukan supaya mengurangkan kesilapan dalam perlawanan sekiranya tidak mahu episod kekalahan memalukan berulang kembali.
“Kami banyak melakukan kesilapan ketika berdepan City sebelum ini sedangkan ia boleh dielak. Sekarang kami perlu bersedia untuk memberikan segala-galanya di pusingan 16 terbaik,” ujarnya. – AGENSI