ATLANTA – Juara Eropah, Paris Saint-Germain berpeluang untuk terus melakar sejarah baharu selepas meraih kemenangan besar 4-0 ke atas Inter Miami pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab di Stadium Mercedes-Benz awal pagi tadi.
PSG kini memburu gelaran kelima selepas merangkul kejuaraan quadruple dengan memenangi Ligue 1, Piala Perancis, Trofi Juara-Juara Perancis dan Liga Juara-Juara Eropah musim ini.
“Ini adalah perlawanan yang cukup istimewa kerana saya berpeluang untuk bertemu dengan individu penting dalam hidup saya. Mereka adalah individu yang berkongsi kejayaan dan kegagalan bersama saya.
“Jelas sekali ini adalah musim penuh bersejarah buat kelab dan kami mahu teruskan lagi dalam pertandingan ini,” kata pengendali PSG, Luis Enrique.
Bagaimanapun, misi besar PSG dilihat agak mencabar memandangkan Les Parisiens bakal menentang juara Jerman, Bayern Munich di suku akhir di Stadium Mercedes-Benz pada 6 Julai ini.
Bintang tengah PSG dari Portugal, Joao Neves meledak dua gol sementara dua lagi diperoleh menerusi jaringan sendiri Tomas Aviles dan satu daripada Achraf Hakimi.
Sementara itu, Enrique tetap memuji kemampuan kapten Miami, Lionel Messi yang masih berupaya menghadirkan ancaman buat PSG meskipun kelab tuan rumah itu tewas teruk dalam perlawanan tersebut.
“Kita semua sudah lihat kualitinya (Messi) sebagai pemain dan dia masih lagi mempunyai sentuhan berbisa.
“Agak sukar untuk kami menentang pemain sepertinya, namun saya percaya kami mampu melakukannya dengan baik,” katanya. – AGENSI