fbpx

Surat terbuka doktor buat Syed Saddiq

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar perkongsian 'surat terbuka' oleh seorang doktor kepada Syed Saddiq.

PETALING JAYA – Sebuah ‘surat terbuka’ oleh seorang doktor yang ditujukan kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tular di media sosial selepas gaya penulisannya yang puitis mencuri perhatian ramai, lebih-lebih lagi apabila berkait dengan fenomena BASS iaitu gandingan nama Bella Astillah dan Syed Saddiq.

Menerusi hantaran di Facebook oleh pemilik akaun @Doc Azhari Zhahir, surat terbuka yang ditulisnya itu bertujuan untuk menyentuh hati Syed Saddiq agar lebih menghargai kehadiran Bella Astillah yang sentiasa memberikan sokongan terhadapnya.

“Bella ada, bukan sekadar bayang di belakang lensa kamera, tetapi nafas kedua yang membisikkan yakin, bahawa perjuangan YB bukan sia-sia,” tulisnya.

Apa yang menarik perhatian netizen adalah penggunaan bahasa perubatan yang digunakan doktor berkenaan termasuk cadangan membuat pemeriksaan retina dan exploratory laparotomy sebagai kiasan untuk ‘mengesan’ cinta Syed Saddiq terhadap Bella.

“Kalau hati YB masih juga keras membeku, izinkan saya, dengan setulus doa seorang doktor, melakukan exploratory laparotomy (prosedur bedah untuk membuka rongga perut manusia yang cedera) menyelak satu-satu selubung hati YB, mencari nama Bella yang pasti tertulis di situ sejak mula lagi,” tambahnya.

Dalam pada itu, doktor tersebut juga menyatakan kesediaannya untuk bertanding di Parlimen Muar sekiranya bekas Menteri Belia dan Sukan itu memilih untuk mengecewakan Bella.

“Jika akhirnya YB memilih untuk mengecewakan Bella, saya sendiri akan bertanding di Parlimen Muar agar saya sendiri dapat membela nasib Bella dengan cara paling ‘gentleman’ seorang rakyat biasa boleh lakukan,” katanya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen terhibur dengan gaya penulisan surat tersebut yang dianggap kreatif dan menyokong ‘ugutan manja’ doktor berkenaan yang sanggup menggerakkan rakyat Sabah untuk berpindah mengundi di Muar.

“Hebat doktor mengarang. Saya ni pesara guru Bahasa Melayu, boleh bagi markah A+,” komen @Wanzah.

“Kami sedia pindah Muar doktor,” ujar @Ruthraramitsubishi.

“Doktor pun perlukan Vitamin C dari BASS,” kata @Miraarimah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI