CHARLOTTE – Pengendali Inter Milan, Cristian Chivu memberikan kebebasan buat anak-anak buahnya supaya tampil lebih berani untuk melakukan ‘terjahan profesional’ kepada pemain lawan.
Penyerang Inter, Carlos Augusto mengakui kebebasan itu memberikan keyakinan kepada para pemain untuk menghadapi wakil Brazil, Fluminense pada aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia Kelab di Stadium Bank of America awal pagi esok.
“Ia menjadi sesuatu yang istimewa buat saya dan Luis Henrique kerana kami sudah mengenali Fluminense dan pastinya kami tahu apa yang boleh dijangkakan daripada perlawanan ini.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar, sama seperti menentang River Plater. Selain kelebihan fizikal, kami tewaskan River hasil aspek teknikal, namun kami kena tampil lebih baik ketika menentang Fluminense.
“Penyerang mereka, Cano sudah berusia 37 tahun, namun masih berada pada keadaan baik dan mampu jaringkan banyak gol.
“Begitu juga dengan Thiago Silva, walaupun sudah berusia 40 tahun, dia adalah legenda di Brazil dan Itali,” katanya.
Augusto juga menjelaskan Inter harus berwaspada dan mengekalkan keazaman mengelak aib seperti tewas memalukan 0-5 kepada Paris Saint-Germain di final Liga Juara-Juara Eropah sebelum ini.
“Kami kena sentiasa ingat apa kesilapan yang kami lakukan dan perlu elak ia berulang lagi. Bola sepak sentiasa menjanjikan peluang kedua,” katanya. AGENSI