SEBERANG PERAI – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengemas kini data mangsa-mangsa yang mengalami kecederaan serius dalam nahas bas yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, 9 Jun lalu.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, mereka yang mengalami kecacatan kekal akan diberikan kad orang kurang upaya (OKU).
Katanya, proses berkenaan akan segera dilaksanakan sejurus selepas mendapat maklum balas daripada doktor.
“Saya telah menziarahi keluarga pemandu Perodua Alza iaitu pasangan suami isteri, Mohd Lutfi Radzi, 37, dan Nurul Ain Zakaria, 36, semalam yang turut mengalami kecederaan dalam nahas itu.
“Kalau kita lihat, memang ahli keluarga terbabit masih dalam trauma dan kita terus bantu untuk stabilkan emosi mereka,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Kepala Batas di Kubang Menerong di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE