GEORGE TOWN – Sekurang-kurangnya tujuh buah rumah dan beberapa kenderaan rosak akibat ribut kuat yang melanda kawasan Seri Delima termasuk di Flat Taman Tun Sardon di Gelugor, awal pagi tadi.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan, kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu menyebabkan bumbung di kediaman Flat Taman Tun Sardon tercabut, pokok tumbang dan tujuh buah kereta dan empat motosikal rosak.
“Syukur tiada kecederaan dilaporkan, namun berlaku kerugian harta benda kerana kenderaan dan kediaman penduduk terjejas,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, tindakan segera telah diambil oleh skuad pantas Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi mengalihkan pokok-pokok yang tumbang termasuk kerja-kerja mengeluarkan kepingan zink yang tercabut.
Jelasnya, pasukan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta pegawai-pegawai teknikal turut turun padang untuk membantu mangsa dan menilai kerosakan.
“Pejabat saya akan menilai semula kerugian yang dialami oleh penduduk dan melihat bagaimana bentuk bantuan boleh disalurkan. Saya juga telah minta Lembaga Perumahan Negeri untuk mempercepatkan proses baik pulih rumah-rumah yang terjejas,” katanya. -KOSMO! ONLINE