KUCHING – Seorang lelaki hilang selepas dibaham buaya ketika memancing di tebing Sungai Maong, berhampiran Jalan Matang – Kampung Paroh di sini malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 10 malam ketika mangsa yang berusia 32 tahun sedang memancing bersama bapa mentuanya.
“Ketika sedang memancing, tiba-tiba mangsa dibaham buaya dan kejadian turut disaksikan bapa mentuanya,” katanya dalam kenyataan.
Katanya susulan laporan yang diterima, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Batu Lintang segera digerakkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Bagaimanapun, katanya operasi SAR yang turut melibatkan pasukan polis, Angkatan Pertahanan Awam dan Perbadanan Perhutanan Sarawak gagal menjumpai mangsa dan ditangguhkan pada pukul 12.30 malam.
Beliau berkata operasi SAR disambung semula pada pukul 8 pagi tadi, dengan pencarian dijalankan di permukaan air dalam radius 300 meter dari lokasi mangsa dikhuatiri dibaham buaya. – KOSMO! ONLINE