fbpx
SETIAP pasangan perlu menjaga aib pasangan bagi mengelakkan berlaku perceraian. – GAMBAR HIASAN

Usah biarkan media sosial kawal hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK akhir-akhir ini, kisah dan aib rumah tangga ibarat sudah jadi satu kemestian untuk dipertontonkan secara umum. Masing-masing berlumba-lumba bercerita di media sosial, bahkan ada juga membuat ‘live’ semata-mata mahu membongkarkan aib pasangan.

Tidak hanya pempengaruh yang mempunyai ribuan pengikut, malah mana-mana individu turut melakukan perbuatan sama berkongsi masalah suami isteri kepada khalayak.

Sudahnya isu pasangan tersebut yang boleh diselesaikan akan bertambah sukar apabila ia dicampuri dengan ‘cakap-cakap’ netizen, seterusnya rumah tangga tidak dapat diselamatkan.

Wartawan Kosmo! Ahad, Siti A’isyah Sukaimi menemu bual Kaunselor Anjung Kaunseling Keluarga, Nani Saarani di pejabatnya di Yayasan Ikhlas, Bandar Baru Bangi baru-baru ini bagi mengupas isu ini.

KOSMO! AHAD: Masa ini terdapat pasa­ngan suka mempertontonkan aib rumah tangga mereka di media sosial. Apa pandangan?
NANI: Bila kita cakap tentang media sosial, sekarang ini zaman teknologi yang mana sepatutnya kita kawal media sosial, bukan media sosial kawal kita. Media sosial sebenarnya alat perhubungan dan komunikasi. Tapi sekarang ia lebih meluas, semua orang nak menunjuk di media sosial. Sehinggalah timbul cerita-cerita peribadi dan sebagainya.

Isu pasangan suami isteri di­letak di media sosial, ramai yang berkata itu hak. Memang betul ada hak, cuma kita tak nak media sosial kawal kita. Pandangan saya, isu peribadi biarlah menjadi peribadi, tidak sebaiknya dipertontonkan kepada umum.

Bila masuk platform media sosial, daripada dua tontonan, jadi 20. Daripada 20, jadi 200 sehinggalah naik kepada 20,000 tontonan. Ia melibatkan ramai orang.
Konflik yang sepatutnya boleh diselesaikan, tetapi diletakkan dalam media sosial. Orang luar boleh mempengaruhi isu tersebut.

Seperti mana dalam al-Quran surah At-Tahrim yang mana ­Allah tekankan tentang aib dan sebagainya. Contoh kalau isteri pakai tidak sopan, suami curang sebagainya, peliharalah (aib) da­ripada diketahui orang awam dan sebagainya.

Ada netizen beri teguran kepada golongan sebegini. Namun, mereka mendakwa mahu beri pengajaran atau sekadar luahan. Adakah ini dibolehkan?
Ada tiga perkara di sini, pertama tentang aib. Netizen me­ngatakan ia aib, tetapi bagi individu yang berkongsi cerita, ia pengajaran dan sekadar meluah.

Bila cakap tentang aib, dalam Islam ada garis panduan. Kita jaga aib, tutup aib orang lain, Allah akan tutup aib kita. Apa pun keadaan, aib ini sesuatu yang memalukan, perlu kita simpan jangan dibuka walau apa keadaan sekalipun.

Kedua tentang pengajaran, ini sangat menarik. Pada asalnya pengajaran ini tidak salah, tetapi dengan cara yang betul tanpa membuka aib. Contoh situasi si
A, suami curang balik lambat keluar dengan wanita lain dan diletakkan di media sosial. Dan dia mengatakan, berhati-hati dengan lelaki begini.

Situasi si B pula, berkongsi di media sosial dengan niat mahu memberi pengajaran. Dia memberikan tip dan panduan serta ciri-ciri suami curang untuk wa­nita lain berhati-hati. Selain memberikan tip mengekalkan rumah tangga dan sebagainya.

Ada dua perbezaan di sini, tidak menceritakan secara ­spesifik individu tersebut. Netizen yang membaca juga akan dapat input. Dalam dia me­nyampaikan, ada pengajaran tanpa kita mendedahkan cerita sebenar kepada umum. Apabila diletakan tip dan nasihat, saya kira ini lebih selamat tanpa mendedahkan identiti sebenar.

Perkara ketiga berkenaan sekadar luahan, adakah ia dibolehkan atau sebaliknya? Luahan ini satu perkara buat kita lega, tetapi mesti dibuat dengan cara yang betul. Jika di media sosial, ia umum semua orang akan tengok.

Jika mahu juga berkongsi di media sosial, tak boleh jika tak berkongsi. Ini dipanggil keinginan. Boleh kecilkan atau hadkan ‘viewers’, hanya kita dan pasangan sahaja atau kita sahaja dapat lihat hantaran. Dengan ini, kita sekadar ‘mengiyakan’ nafsu kita untuk meletakkan di media sosial. Tapi kita ‘sorok’ (hide) daripada sesiapa melihat.

Berkongsi kisah peri­badi di media sosial dibimbangi mengeruhkan hubungan suami isteri, terutama apabila tersilap menerima nasihat. Apakah penyelesaian terbaik jika rumah tangga berdepan masalah?
Pergi ke saluran yang betul, pertama keluarga, kedua kawan-kawan dan ketiga, kaunselor. Cari kaunselor bertauliah dan berle­sen. Kaunselor yang tidak betul ini, contoh tidak ada lesen dan ini sangat bahaya. Kami yang berlesen sangat menjaga profesio­nalisme, etika dan kerahsiaan.

Boleh juga mendapatkan bantuan di jabatan agama kerana ada pegawai runding cara disediakan. Akhir sekali ialah Talian eKasih 15999 untuk mendapatkan bantuan yang akan membantu mencari jalan penyelesaian. Kita juga ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan bantuan.

NANI menasihatkan pasangan terutama anak muda agar tidak berhenti belajar ilmu perkahwinan bagi
mengekalkan hubungan
dan mengelak perceraian.

Kongsi kisah aib tidak hanya melibatkan pasangan muda, ada juga pasangan berusia dianggap sudah matang. Seolah-olah satu trend mempertontonkan hal rumah tangga di media sosial. Pandangan terhadap kebimbangan ini?
Ini zaman teknologi, jadi saya setuju isu-isu begini menjadi trend. Orang buat, orang lain nak ikut buat dan sebagainya. Ia satu fenomena sebenarnya sangat membimbangkan. Bila sekali buat, orang akan jadikan platform ini sebagai wadah meluah hal peribadi. Jadi satu trend dan lama kelamaan membiak-biak. Kuasa papan kekunci itu boleh memusnahkan rumah tangga.

Jika dahulu sewaktu TikTok mula naik, banyak tarian dengan wanita berpakaian tidak baik dan sebagainya. Ia jadi satu trend yang mana TikTok ini semua tak baik. Kemudian trend yang lebih positif, sebagai contoh ustaz atau ustazah menyampaikan tip rumah tangga dan sebagainya. Ini membuatkan trend yang sihat.

Teknologi, media sosial tak salah cuma janganlah ia mengawal kehidupan. Sebaiknya kita kawal trend ini menjadi platform sihat. Gunakan media sosial ke arah lebih baik. Kurangkan perkongsian ‘live’ jika kita sedang ada isu atau tutup dulu ‘live’. Membiarkan ‘live’ dan semua orang akan melihat (hal suami isteri) di situ, ia tidak sihat.

Kita nak mendidik bukan sahaja komuniti, tetapi generasi akan datang. Bila kita menggunakan trend sebegini di platform media sosial dalam keadaan negatif, maka akan dapat negatif. Begitu juga sebaliknya. Trend di platform media sosial ini, ada dinaikkan oleh pempengaruh, tetapi ia disokong oleh komuniti.

Bagaimana pula jika melibatkan isu keselamatan. Si isteri berdepan keganasan rumah tangga dengan si suami. Adakah ia boleh dikongsikan di media sosial?
Pandangan peribadi saya ialah pergi ke saluran yang betul. Sekiranya ia diletakkan di media sosial, apakah suami akan berhenti memukul atau isteri berhenti terajang suami?
Saya pasti dan percaya keinginan mereka ini adalah untuk dibantu. Cara lebih baik pergilah ke saluran betul berkaitan keganasan, balai polis kerana ada prosedur untuk bantu mangsa dan sebagainya.

Selain polis, boleh minta bantuan NGO seperti Women’s Aid Organization atau All Women’s Action Society yang mana di sini ada perlindungan hak wanita, kaunselor yang membantu memberikan kaunseling serta sokongan mental. NGO-NGO ini penting kerana ia sistem sokongan komuniti dan mereka yang mengalaminya boleh terus ke situ, atau hubungan Talian eKasih 15999.

Ada page di media sosial tawar luahan bercerita masalah rumah tangga. Biarpun tidak diketahui pengirimnya, adakah perbuatan ia terma­suk membuka aib?
Mungkin emosi seseorang itu tidak stabil, jadi dia nak juga meluahkan. Apabila diluahkan dalam media sosial tanpa diketahui nama pe­ngirim, sejauh mana kita yakin dengan jaminan kerahsiaan itu. Sedarkah kita dah buka aib kepada admin (pentadbir akaun media sosial) tanpa disedari. Kita buka aib kepada admin yang tidak dikenali, siapa orangnya.

Jadi sejauh mana jaminan dan keyakinan kita kepada admin. Saya tak kata admin ni salah dan sebagainya, cuma selagi kita tutup, kita tutup. Admin kita tak kenal, mungkin dia bercerita pula kepada kawan-kawan, jadi makin lama kisah itu makin tersebar. Kemudian orang yang dengar cerita, ‘eh ni macam saudara
aku’.

Allah kata tutup aib itu, tetapi kita sendiri yang buka kepada admin dan orang awam. Isu suami isteri yang boleh diselamatkan sebenarnya akan menjadi lebih teruk. Jadi salah faham dan menimbulkan pergaduhan lebih teruk.

Ada pasangan muda mi­salnya, si suami suka main talak. Si isteri sikit-sikit minta cerai. Seolah-olah hal rumah tangga itu bahan gurauan. Sehinggakan ada lafaz talak secara ‘live’. Apakah punca kepada situasi ini?
Kena tahu hak atau hakikat talak cerai ini tidak boleh main-main. Ia hukum Allah, jangan dibuat main kerana tidak boleh berundur kata-kata. Punca jadi sebegini apabila kurangnya ilmu agama dan ilmu kekeluargaan.

Ini penting sebelum mendirikan rumah tangga. Sebelum berkahwin, kita ada kursus pra-perkahwinan. Saya nasihatkan jangan berhenti belajar ilmu perkahwinan, keibubapaan, pengurusan emosi dan kewangan selain ilmu menyelesaikan masalah.

Sudah berkahwin lama pun, kita belum kenal pasangan. Sebab itu ada dalam kala­ngan klien sudah berkahwin 20 tahun dan mereka datang nak bercerai. Ikut logik kita, 20 tahun berkahwin itu belum campur bercinta. Yang berkahwin dalam tempoh lama pun, kita belum lagi kenal pasangan. Jadi kita te­ruskan belajar.

Saya tekankan juga kepada pempengaruh untuk tidak menggunakan teknik pemasaran sebegini. Tengok cara pemasaran produk dan jenama besar, mereka tidak mengeluarkan isu kekeluargaan berbanding kita yang ada produk kecil. Banyak cara lagi dan bukan dengan talak atau lafaz cerai dan sebagainya.

Segelintir mereka berbangga bercerai, tapi apa yang dibanggakan dengan penceraian tersebut? Talak tidak sepatutnya dihebohkan, dipertonton secara ‘live’.

Cukuplah sekadar saya dan dia (suami isteri). Tidak ada apa-apa, berpisah dan buat hal masing-masing, ‘move on’. Tanam sifat malu dalam diri supaya malu ini kita didik dalam keluarga, anak-anak dan generasi kata.

Benarkah mereka yang suka menjaja hal rumah tangga ini tergolong dalam mereka yang ‘attention seekers’?
‘Attention seekers’ ini dia nakkan perhatian, nak wujud di media sosial dan nak ada tempat di dalam masyarakat. Inilah generasi sekarang yang suka tunjukkan segala-galanya. Kita tak cakap perkara buruk sahaja, mungkin ada yang tunjukkan kebahagian walaupun dengan sekecil-kecil perkara.

Ini hak masing-masing, tetapi biarlah sederhana. Bersederhana berkongsi kebahagian di media sosial, begitu juga dengan isu kekeluargaan, bersederhana lah.

Maksudnya selesaikan dengan cara baik supaya orang tak memandang (sinis) dan sebagainya. Biarlah kita kawal media sosial.

Dalam istilah psikologi iaitu FOMO (fear of missing out), kita rasa bimbang kalau tak sama dengan kehidupan orang lain. Jika tak dapat ‘like’, ‘posting’ tidak dikongsi, tak ada ‘view’ sebagainya, atau mungkin tiada telefon pintar iPhone, dia rasa tidak lengkap hidup.

Kesan buruk kepada keluarga dan anak-anak khususnya di masa akan datang kerana apa yang dipaparkan dalam talian, akan kekal di situ?
Saya ketagorikan kepada tiga iaitu kepada diri sendiri, keluarga atau anak-anak, seterusnya kepada komuniti. Ia boleh jadi kesan jangka pendek atau jangka panjang. Persamaannya ialah kedua-duanya kekal selama-lamanya di media sosial.

Kesan kepada diri apabila maruah tercalar, menjejaskan reputasi lagi-lagi apabila bekerja sebagai kakitangan kerajaan. Stigma dan wujud pandangan luar yang tidak baik, sinis daripada rakan sekerja dan majikan. Komuniti hilang percaya kepada kita, seterusnya menjejaskan bidang pekerjaan

Untuk keluarga, kesannya ibu bapa atau adik-beradik terkena tempias daripada orang sekeliling atau orang kampung. Banyak salah faham akan timbul. Bagi anak-anak pula terkesan dari segi kesihatan mental, trauma ketika di sekolah apabila bersama rakan-rakan. Sama ada anak ini boleh dibuli, hilang keyakinan, tidak mahu ke sekolah, memberontak ataupun mereka menyendiri dan tertekan.

Kepada komuniti, kesannya apabila mereka nampak, mereka akan ikut perbuatan tersebut. Misalnya yang melakukan itu adalah pempengaruh dan dia pun meniru perbuatan (berkongsi hal rumah tangga di media sosial).

Selain itu, ia juga boleh membuatkan komuniti takut untuk berumah tangga, takut untuk membuka hati kepada perhubungan dan sebagainya selepas melihat perkara negatif ditunjukkan di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN