KUALA TERENGGANU – Seramai lima pelajar sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Besut ditahan reman selama tiga hari sehingga lusa bagi membantu siasatan kes membuli rakan sekolah mereka sehingga cedera pada Selasa lalu.
Perintah reman terhadap kesemua remaja berusia dalam lingkungan 15 hingga 17 tahun tersebut dibenarkan Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah, Yuhanis Mohd. Roslan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu berkata, kesemua suspek disyaki membuli seorang pelajar lelaki tingkatan dua di asrama MRSM berkenaan pada Selasa lalu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 14 tahun terbabit mendakwa dipaksa duduk separa mencangkung sambil kepalanya diletakkan selipar selama kira-kira 40 minit pada pukul 11.30 malam, hari kejadian.
“Remaja lelaki berkenaan juga mendakwa ditumbuk pada bahagian perut selain ditampar mukanya.
“Ia menyebabkan mangsa mengalami kesakitan pada bahagian perut dan rusuk serta belakang badannya lebam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azamuddin berkata, kes akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kesemua pelajar MRSM terbabit yang terlibat dalam kes membuli pelajar tingkatan dua sehingga cedera dibuang serta-merta. – KOSMO! ONLINE