BANGUI, Republik Afrika Tengah – Seramai 29 pelajar yang sedang mengambil peperiksaan terbunuh dalam insiden rempuhan akibat panik disebabkan letupan yang berlaku berhampiran sekolah mereka, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Pengarah Hospital Komuniti Bangui, Abel Assaye berkata, letupan berlaku pada hari kedua peperiksaan akhir untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi kelmarin.
“Bunyi letupan berserta asap mencetuskan panik dalam kalangan hampir 6,000 pelajar yang mengambil peperiksaan. Kejadian berlaku di sebuah sekolah di ibu negara, Bangui,” kata stesen radio tempatan, Ndeke Luka.
Presiden Republik Afrika Tengah, Faustin-Archange Touadera mengisytiharkan hari berkabung negara susulan kejadian tersebut.
Beliau mengarahkan supaya lebih 280 pelajar yang cedera mendapatkan rawatan percuma di hospital kerajaan.
Kementerian pendidikan berkata, letupan berlaku selepas bekalan elektrik pada sebuah transformer yang terletak di tingkat bawah bangunan utama pulih.
Menteri Pendidikan, Aurelien-Simplice Kongbelet-Zimgas berkata, peperiksaan selanjutnya turut digantung.
Seorang pelajar dikenali sebagai Magloire berkata, dia keluar melalui tingkap.
“Pelajar lain pula berasak-asak untuk keluar sedangkan pintu sangat kecil.
“Tidak semua orang boleh keluar,” katanya. – AGENSI