fbpx

Sultan Selangor dukacita budaya domba, sebar fitnah jadi kebiasaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Selangor.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris menzahirkan dukacita apabila budaya mengadu domba, menyebar fitnah dan mencerca sesama sendiri semakin menjadi kebiasaan.

Sultan Sharafuddin bertitah, ia bukan akhlak seorang Muslim dengan Rasulullah SAW mengajarkan kita agar menjaga lisan.

Tegas baginda, ini kerana lidah yang tajam adalah lebih parah dari mata pedang.

“Hentikanlah budaya saling menjatuhkan dan mencari salah. Marilah kita menyemai budaya saling menasihati dengan lembut dan berhemah, agar hati tidak terluka dan ukhuwah tetap terpelihara.

“Beta juga ingin menyeru, janganlah kita berlagak menjadi ‘hero’ atau merasa diri terlalu hebat sehingga menafikan hak dan sumbangan orang lain,” titah baginda dalam perutusan sempena Awal Muharram dan Maal Hijrah 1447H menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Sultan Sharafuddin bertitah, sikap angkuh ini hanya mencemarkan keikhlasan dalam perjuangan.

“Kesombongan bukan tanda kekuatan, tetapi kelemahan jiwa yang belum tunduk sepenuhnya kepada Allah SWT. Jadilah insan yang rendah hati, kerana kemuliaan di sisi Allah hanya milik mereka yang bertakwa,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut berpesan agar mengamalkan adab dan kebijaksanaan dalam menegur agar sebarang teguran tidak berubah menjadi penghinaan, dan nasihat bertukar menjadi cercaan.

“Tegurlah saudara kita dengan penuh kasih sayang, kerana tujuan teguran bukanlah untuk memalukan, tetapi untuk memperbaiki.

“Teguran yang lahir dari hati yang jujur akan meresap ke hati yang bersih,” titahnya.

Justeru, baginda menyeru agar rakyat tidak lagi bertelagah antara satu sama lain dalam meniti cabaran dunia yang penuh fitnah dan kegelisahan ini.

“Usahlah kita berbalah hanya kerana perbezaan pandangan atau kecenderungan. Islam mengajar kita bahawa kekuatan umat itu lahir daripada kesatuan, bukan perpecahan.

“Jangan kita biarkan api kebencian dan dendam memusnahkan keharmonian yang kita bina selama ini,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI