KUALA LUMPUR – Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7’s kembali menggegar padang keramat Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) apabila sebanyak 24 pasukan termasuk gergasi dari Fiji dan wakil Jepun sah turun berentap.
Edisi ke-13 yang bakal berlangsung bermula 4 hingga 6 Julai ini di Kuala Kangsar, Perak akan melibatkan empat pasukan antarabangsa yang mengintai peluang menjulang Piala NJ Ryan.
Pengarah Kejohanan, Muhammad Asri Rafa’i menyifatkan kehadiran pasukan Fiji sebagai satu kejutan dinanti-nantikan terutama menjadi pencabar merampas gelaran dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) yang menjuarainya tahun lalu.
“Fiji adalah kuasa besar ragbi dunia. Ini kali pertama mereka menyertai kami setelah beberapa tahun kami cuba menjemput mereka.
“Kehadiran Akademi Ragbi Serevi bukan sahaja akan menaikkan taraf kejohanan, tetapi juga memberi pendedahan dan cabaran sebenar kepada pasukan tempatan kita.
“Kita harap dengan nama besar seperti Serevi, ia akan menarik lebih ramai peminat dan memberi inspirasi kepada pemain-pemain muda. Mereka datang bukan untuk makan angin, tetapi untuk bersaing,” katanya pada sidang akhbar MCKK Premier 7’s 2025 hari ini.
Selain Fiji, tiga lagi pasukan jemputan antarabangsa yang bakal membuat kejutan ialah Akademi Shizuoka Seiko (Jepun), SMA Darunnajah (Indonesia) dan Vajiravudh College (Thailand).
Barisan gergasi tempatan pula seperti tuan rumah MCKK, Sekolah Dato’ Abdul Razak (SDAR), Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dan Maktab Tentera Diraja (MTD) juga pastinya tidak akan memberi laluan mudah dan berazam untuk memastikan piala tersebut kekal Malaysia. – KOSMO! ONLINE