Aksi lincah Aliya Nur Jasmine semasa bermain ragbi sentuh.

Pelajar perempuan SIRAJ Al-Alusi kikis stereotaip sekolah agama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SORAKAN meledak di seluruh padang Singapore American School, Singapura menandakan detik heroik yang akan terus diingati dalam sejarah Pan Pacific All School Touch Rugby 2025.
Larian pantas dan strategi bijak Fatin Humaira Hasanurul Nezam membawa kemenangan kepada pasukan Ratel Rascals dari Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) Al-Alusi sekali gus bergelar juara.

Kejayaan ini bukan sekadar kemenangan, tetapi bukti bahawa keberanian dan semangat juang mampu menepis stereotaip terhadap pelajar perempuan sekolah agama.

Lebih membanggakan, pelajar berusia 12 tahun dari sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan itu turut dinobatkan sebagai pemain paling bernilai (MVP) sekali gus mengetepikan pemain-pemain lain dari sekolah-sekolah berstatus pasukan pilihan.

Menurut pemain di posisi sayap (wing) tersebut, kejayaan itu sesuatu di luar jangkaannya memandangkan pada separuh masa kedua perlawanan menyaksikan lawan menukar taktik permainan.

“Selain bermain di sayap, saya juga memikul tanggungjawab sebagai ketua pasukan. Jadi, apabila lawan menukar taktikal pada separuh masa kedua, saya terpaksa bertindak cepat.

“Pasukan saya perlu menyesuaikan strategi sambil mengekalkan fokus dan disiplin. Alhamdulillah, saya berjaya menjaringkan try kemenangan untuk menewaskan lawan 2-1,” katanya kepada K-Remaja.

Ratel Rascals menewaskan Tanglin Lion dari sekolah antarabangsa Tanglin Trust School, Singapura, dengan mata 2–1 pada perlawanan akhir Pan Pacific All School Touch Rugby 2025 baru-baru ini.

Kejohanan ragbi sentuh anjuran Touch Singapore dengan sokongan Singapore American School itu menghimpunkan pasukan sekolah dari beberapa negara Pan Pasifik seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Taiwan dan Singapura.

Ia turut dibahagikan kepada pelbagai divisyen umur bagi kategori lelaki dan perempuan, termasuk bawah 12 tahun dan bawah 14 tahun.

Mengulas lanjut, Fatin Humaira berkongsi pada asalnya dia enggan terlibat dalam sukan tersebut kerana menganggap permainan ragbi sentuh sama kasar seperti ragbi rempuh.

Sewaktu diajak kawan sertai pasukan itu, Fatin Humaira agak ragu-ragu kerana sering melihat abang bermain ragbi rempuh yang kasar dan risau tidak bersesuaian dengannya.

“Namun, minat mula timbul apabila rakan dan cikgu menunjukkan ragbi sentuh yang menekankan strategi, kelincahan dan kerja berpasukan.

“Saya juga mengambil sedikit panduan daripada abang untuk memahami asas pergerakan di padang yang ternyata banyak membantu,” katanya yang bersekolah di SIRAJ Al-Alusi, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur.

Sekolah yang memulakan sesi pembelajaran oleh JAWI pada tahun 2016 itu berteraskan pelaksanaan dwikurikulum iaitu Kurikulum Standard Sekolah Rendah dan Kurikulum Sekolah Rendah Agama.

Mengenai ragbi sentuh, ia berbeza dengan ragbi biasa kerana melibatkan sentuhan yang lebih sederhana tanpa tackle fizikal atau scrum.

Sementara itu, seorang lagi pemain, Alya Nur Jasmine Ben Harrasyad, 12, turut menyerlah hingga menerima tawaran daripada jurulatih luar berikutan aksi cemerlangnya.

Guru dan pelajar SIRAJ Al-Alusi bergambar kenangan di sekitar Singapura.

Sebagai penggerak tengah, peranannya bukan sahaja menghubungkan serangan dan pertahanan, tetapi juga memastikan kelancaran strategi pasukan sepanjang perlawanan.

Dia cemerlang dalam tujuh ujian percubaan sekali gus menunjukkan disiplin, ketangkasan dan kefahaman taktikal tinggi.

Kecekapan ini menjadikan Alya Nur Jasmine ‘bintang dalam pembikinan’ pasukan iaitu pemain yang mampu beri impak besar dalam setiap perlawanan.

Kongsi Alya Nur Jasmine, kejohanan tersebut merupakan kali pertama dia berdepan dalam saingan antarabangsa, namun tetap berjaya menyesuaikan diri tanpa sebarang kecederaan.

“Ini pertama kali saya berhadapan dengan pemain antarabangsa dan difahamkan mereka sebagai pasukan yang kuat dalam ragbi sentuh bagi divisyen kami.

“Tetapi kami berjaya membuktikan bahawa dengan kecekapan, disiplin dan keberanian, semua pemain adalah sama hebat di dalam perlawanan.

“Saya tak sangka menerima minat daripada jurulatih luar, namun buat masa ini saya belum bersedia pergi jauh dan mahu fokus dengan pasukan ini dahulu,” katanya.

Ratel Rascals ditubuhkan pada Ogos 2024 oleh dua guru jurulatih, Mohamad Zull Helmiezan Buang dan Amir Farhat Mohd Fauzi setelah menyaksikan kejayaan pasukan lelaki.

Pasukan tersebut ditubuhkan dengan harapan memberi peluang kepada pelajar perempuan sekolah agama untuk menyerlah dalam sukan lasak seperti ragbi sentuh.

Nama Ratel Rascals diambil daripada haiwan ratel (bejar madu / honey badger) yang terkenal sifat licik, berani dan tangkas.

Gabungan perkataan ‘rascal’ pula bermaksud nakal tetapi cerdik, melambangkan falsafah pasukan agar pemain menjadi bijak, tangkas dan kreatif dalam strategi permainan.

Bermula dengan 20 hingga 30 pemain pada awal penubuhan, pasukan kini berjaya berkembang menjadi 50 hingga 60 pemain.

Ratel Rascals kini mempunyai beberapa kategori umur bagi pemain perempuan iaitu Bawah 12, Bawah 10 dan Bawah 9 dengan kategori Bawah 9 baru sahaja dibentuk.

Biarpun baru setahun lebih penubuhan, pasukan yang menjalani latihan bersesuaian dengan kurikulum sains sukan itu sudah mula menyertai kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.

Menurut Mohamad Zull, pasukan Ratel Rascals menghadapi cabaran dari segi fasiliti kerana sekolah agama tersebut tidak memiliki padang latihan sendiri.

“Latihan kebanyakan dijalankan di dewan sekolah atau kuarters takraw, manakala padang awam hanya boleh digunakan sekali seminggu. Keadaan ini memaksa kami cari ruang alternatif untuk memastikan objektif latihan tercapai dan pemain terbiasa bermain di padang sebenar sebelum menyertai kejohanan.

“Tetapi, kami tetap menekankan pendekatan sains sukan yang turut diterap termasuk latihan lari pantas, kelincahan, stamina dan pelan latihan,” katanya.

Selain cabaran mencari tempat berlatih, kedua-dua jurulatih turut menghadapi cabaran melatih pemain yang bermula dari sifar. Ini kerana separuh pemain sudah ada kemampuan asas berlari, manakala separuh lagi benar-benar tiada pengalaman.

Ditambah pula sesi persekolahan bermula dari 7.30 pagi hingga 4.30 petang menjadikan masa latihan amat terhad.

Latihan asas dijalankan dua kali seminggu di sekolah dan sekali seminggu di padang luar, manakala menjelang kejohanan, latihan ditambah pada pukul 8.30 hingga 10.30 malam.

Ujarnya, perkara itu menyebabkan proses melatih ahli baharu mengambil masa sekitar tiga bulan untuk menguasai pengendalian bola dan larian asas.

“Kami juga perlu pandai mengurus perangai pemain, kerana sesetengahnya mudah hilang fokus kerana mereka masih muda dan ini bukan sekolah sukan.

“Bagi mengatasi masalah ini, kami beri tanggungjawab kepada pemain tertentu, contohnya melantik Fatin sebagai kapten, supaya dia lebih bertanggungjawab.

“Dengan adanya dia sebagai ketua, rakan-rakannya juga lebih fokus semasa latihan dan ini memudahkan proses latihan berjalan dengan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, Amir Farhat menambah kejayaan di Singapura menandakan perancangan dan impian pasukan bermula tahun lalu sudah terlaksana.

Bagi memastikan pembangunan berterusan, pasukan merancang beberapa program latihan dan kejohanan pembangunan, termasuk pendedahan kepada program luar negara.

Salah satunya ialah menyertai National Touch League di Brisbane, Australia untuk memberi pelajar pengalaman sebenar ragbi sentuh profesional serta mempraktikkan kemahiran dalam situasi kompetitif.

Kata Amir Farhat, program tersebut bertujuan memberi pengalaman sebenar, meningkatkan kemahiran serta menanam keyakinan dan aspirasi mewakili negara.

“Langkah ini penting untuk membina kemahiran teknikal, tetapi lebih daripada itu, ia juga untuk menanam keyakinan, semangat bersaing dan aspirasi pemain untuk suatu hari mewakili Malaysia.

“Dalam kejohanan berskala besar ini, kategori terbuka digunakan, jadi pemain perlu bersaing dengan pasukan lebih berpengalaman dan fizikal lebih besar,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN