KUALA LUMPUR – “Saya bayar loan (pinjaman) bank, duit pampasan diberhentikan kerja pun habis, sekarang tinggal angin.”
Demikian kata Geetha Muniandy, 41, yang mendakwa kerugian sebanyak RM90,000 selepas melabur dalam skim pelaburan mesin layan diri (vending machine).
Menurut Geetha, dia diperkenalkan dengan skim itu oleh kenalannya yang menjanjikan pulangan lumayan sebanyak RM1,500 sebulan bagi setiap mesin bernilai RM30,000.
“Saya membeli tiga vending machine berharga RM90,000. Mereka janji saya akan menerima ‘interest’ (keuntungan) sebanyakRM1,500 sebulan dalam masa lima tahun dan akan disambung lima tahun lagi.
“Tetapi saya cuma menerima bayaran selama dua bulan sahaja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Menara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di sini hari ini.
Namun, beliau berkata, selepas dua bulan, bayaran tersebut terhenti dengan alasan penangguhan disebabkan pandemik Covid-19.
“Mula-mula mereka kata tangguh dua tiga bulan, kemudian enam bulan, selepas itu jadi setahun. Sekarang langsung tiada bayaran.
“Bila kita hubungi mereka semua menghilang. Tidak tahu nak cari di mana,” ujarnya.

Seorang lagi mangsa, Chandra Segaran, 65, pula berkata, dia kesal selepas pihak pendakwaan memutuskan tiada tindakan lanjut meskipun laporan polis dan dokumen berkaitan disertakan.
“Saya ini bukan sekolah tinggi, tapi saya tahu kalau orang janji (dan) tak tepati, itu maknanya menipu. Macam mana boleh kata bukan tipu kalau tak bayar dan mesin pun tak bagi?” katanya.
Jelas lelaki itu, wang yang digunakan untuk pelaburan itu adalah duit simpanan yang sepatutnya digunakan untuk meneruskan kehidupan selepas bersara.
Mereka berdua merupakan antara 228 mangsa yang terperdaya skim pelaburan vending machine dan mesin kopi layan diri sehingga kerugian RM14.3 juta.
Mereka hadir ke SSM hari ini bersama pihak Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Mereka berharap pihak berwajib terutama SSM dan pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab. – KOSMO! ONLINE