KOTA BHARU – Empat pengamal perubatan tradisional termasuk dua individu yang terkenal di media sosial dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah memukul seorang pensyarah hingga buta mata kirinya kira-kira empat tahun lalu.
Hakim Mohd. Zul Zaqikudin Zulkifli menjatuhkan hukuman terhadap Mohd. Shamsul Izwan Midin, 37, yang dikenali sebagai Wea Selamos, Muhammad Firdaus Mohd. Adnan, 37, atau Tok Singa, Idrees Ishak, 46, dan Mohd. Eric Mohd. Ramli, 39.
Mohd. Zul Zaqikudin samasa membacakan hujahan penghakiman berkata, pembelaan yang dikemukakan oleh keempat-empat tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata tanpa sebarang sokongan kukuh.
“Maka, kesemua tertuduh didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun berkuat kuasa hari ini,” katanya.
Mengikut pertuduhan, mereka berempat didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 43,.
Perbuatan itu mengakibatkan mangsa mengalami kehilangan penglihatan kekal pada mata kiri dalam kejadian di sebuah rumah tumpangan di Jalan Sultan Yahya Petra kira-kira pukul 4 pagi pada 5 Ogos 2021.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam, Mohd. Azrul Hasyimi Mohamad.
Mahkamah turut membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara terhadap kesemua tertuduh dengan jaminan dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 setiap tertuduh sementara menunggu rayuan.
Keempat-empat tertuduh dibebaskan selepas membayar ikat jamin yang ditetapkan mahkamah.
Media sebelum ini melaporkan, Wae Selamos bersama Tok Singa dan dua rakan mereka mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada 30 Ogos 2021 atas pertuduhan memukul seorang bomoh. – KOSMO! ONLINE