MIRI – Sekumpulan penyamun yang disyaki aktif dalam beberapa kes samun bersenjata sejak tahun lalu tumpas selepas menyamun sebuah keluarga di Taman Viana, Jalan Bakam, di sini pada 19 Jun lepas.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kesemua suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berusia antara 38 hingga 57 tahun itu di tahan dalam tempoh 24 jam selepas kejadian yang dilaporkan.
Terdahulu jelasnya, pihak polis menerima laporan kes samun melibatkan sebuah rumah di Taman Viana kira-kira pukul 4 pagi itu dan pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Miri terus ke tempat kejadian bagi menyelamatkan mangsa sekeluarga.
Setiba pasukan polis di tempat kejadian katanya, penyamun terbabit telah melarikan diri dan bertindak atas maklumat daripada orang awam, polis berjaya mengesan kedudukan kumpulan tersebut.
“Polis kemudiannya berjaya menumpaskan kumpulan samun bersenjata berkenaan dan merampas kembali barang yang disamun daripada mangsa iaitu jam tangan, barang kemas, dokumen diri serta beg duit berisi sejumlah wang tunai.
“Kenderaan, pisau pemotong, pemotong besi, topeng muka dan pakaian milik suspek turut dirampas semasa serbuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Farhan menambah, hasil siasatan juga mendapati kumpulan suspek yang sama telah melakukan kes samun yang videonya tular pada 13 Jun lalu di Jalan Hillstone, berdasarkan modus operandi yang digunakan mereka.
Justeru, katanya kesemua suspek telah diluluskan reman selama tujuh hari dari 20 hingga 27 Jun ini.-KOSMO! ONLINE