MELAKA – Seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gajah Berang, Jalan Gajah Berang, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 4.48 petang, mangsa, Tai Yong Cheng, 18, yang menunggang motosikal jenis Honda disahkan meninggal dunia di Hospital Melaka akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang dalam perjalanan dari arah Tengkera ke Gajah Berang cuba memotong sebuah kereta jenis Perodua Myvi dari sebelah kiri.
“Mangsa bagaimanapun telah melanggar bahagian hadapan kenderaan dipandu remaja lelaki berusia 18 tahun yang sedang membelok ke kiri untuk masuk ke kawasan SMK Gajah Berang.
“Akibat kemalangan itu, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katholik dibawa ke Hospital Melaka namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, pemandu kereta berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE