MANILA – Seorang lelaki di Filipina digelar ‘raja perawat’ kerana dia menggunakan bisa ular kapak untuk merawat segala jenis penyakit, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Lelaki itu bernama Rosalio Culit atau lebih dikenali sebagai Datuk Kamandag dalam kalangan suku kaum Manobo di Pulau Mindanao.
Culit berkata, dia secara tidak sengaja menemui kaedah rawatan unik itu selepas digigit seekor ular peliharaannya beberapa tahun yang lalu.
“Pada masa itu, saya menghidap beberapa jenis penyakit tetapi keadaan saya menjadi lebih baik, beberapa hari selepas dipatuk ular.
“Sejak itu, saya mula memanfaatkan racun ular dan mencipta nama sebagai perawat ular,” kata Culit.
Selain mendapat permintaan tinggi, Culit turut dibanjiri pesakit yang ingin digigit ular peliharaannya untuk sembuh daripada pelbagai penyakit kronik termasuk masalah jantung dan jangkitan saluran kencing.
Pakar-pakar kesihatan bagaimanapun memberi amaran bahawa tiada bukti bisa ular jenis Tropidolaemus subannulatus itu boleh merawat penyakit, malah amat berbahaya kepada manusia. – AGENSI