PUTRAJAYA – Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diminta mematuhi garis panduan bagi menangani isu gangguan seksual yang sedang diguna pakai.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, khidmat sokongan psikososial juga perlu terus diperkukuhkan untuk memberi sokongan kepada murid.
Dalam masa sama, katanya, ibu bapa digesa untuk turut memainkan peranan proaktif di rumah dengan mendidik dan melindungi anak-anak dari ancaman gangguan seksual selain bertanggungjawab memastikan maruah anak-anak dipelihara.
“KPM mengambil serius laporan media mengenai kewujudan halaman pedofilia di media sosial yang memaparkan murid sekolah.
“Kewujudan halaman media sosial yang memaparkan kandungan lucah dan tidak bermoral perlu dibendung. Ia perlu segera dilaporkan dan diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, sebuah akaun Facebook yang memuat naik gambar kanak-kanak untuk tujuan tidak senonoh telah ‘hilang’ daripada platform itu selepas ia dilaporkan oleh seorang pempengaruh media sosial dan orang ramai.
Tindakan kolektif terhadap ‘Group budak2 Sekolah Rendah’ itu menyebabkan ia diturunkan tidak lama selepas aduan dibuat.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM mempunyai modul Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) bagi meningkatkan tahap kesedaran kesihatan reproduktif dalam kalangan masyarakat khususnya murid, guru dan ibu bapa.
Jelasnya, tempoh masa pengajaran bagi modul PEERS akan ditambah dalam pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027. – KOSMO! ONLINE