GEORGE TOWN – Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara yang dinanti-nantikan di Pulau Pinang bakal memasuki fasa baharu apabila kerja-kerja fizikal dijangka bermula dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, semua isu tertunggak melibatkan projek berkenaan termasuk yang membabitkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Pulau Pinang telah berjaya diselesaikan dengan baik.
“Sekarang kita sudah menyelesaikan semua isu-isu berkenaan projek LRT Pulau Pinang. Ini termasuklah perbincangan antara pihak Kementerian Pengangkutan dan kerajaan negeri.
“Saya sendiri telah mempengerusikan satu mesyuarat bersama Ketua Menteri Pulau Pinang di Kementerian Pengangkutan pada bulan lalu,” katanya selepas meninjau perkhidmatan Rapid Penang On-Demand di sini, hari ini.
Projek LRT Laluan Mutiara sepanjang 29.5 kilometer itu merangkumi 21 stesen strategik dan direka untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan tanah besar, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya serta mempertingkat aksesibiliti.
Menurut Anthony Loke, antara perkara yang telah diselesaikan termasuk pelepasan surat kebenaran daripada pihak kerajaan negeri serta hal-hal teknikal lain yang sebelum ini menangguhkan pelaksanaan projek berkenaan. – KOSMO! ONLINE