KUALA LUMPUR – Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli meneruskan rentak cemerlang dalam kempen Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2025 dengan penuh bergaya apabila kali ini meraih podium pertama dalam Perlumbaan 2 di MotorLand Aragon, Sepanyol semalam.
Pelumba berusia 17 tahun itu bangkit dari petak ketujuh untuk mencatat masa 26 minit 52.773 saat (s), menewaskan pencabar utama, Brian Uriarte dari Sepanyol dengan kelebihan 0.188 saat dalam aksi mendebarkan hingga ke selekoh terakhir.
“Perlumbaan yang sangat mencabar. Saya buat kesilapan di selekoh kedua terakhir bila terlupa turunkan gear dan terjatuh ke tempat ketujuh.
“Namun, saya kekal fokus dan cuba bersabar. Selekoh terakhir agak ketat, tapi saya berjaya buka minyak awal dan potong semula,” kata Hakim Danish.
Kejayaan membanggakan itu sekali gus menamatkan kemarau kemenangan buat pelumba kelahiran Terengganu itu selepas lima kali berturut-turut bergelar naib juara termasuk ketika Perlumbaan 1 pada Sabtu lalu apabila hanya tewas 0.007s kepada Uriarte.
Seorang lagi pelumba Sepanyol, David Gonzalez melengkapkan kedudukan podium di tempat ketiga dengan catatan masa 26:52.968s, hanya 0.195s di belakang Hakim Danish.
Menariknya, kemenangan itu menyaksikan Hakim terus unggul di puncak carta keseluruhan RBMRC dengan kutipan maksimum 125 mata selepas lima perlumbaan, 30 mata mengatasi Uriarte di tangga kedua.
Pusingan keempat RBMRC akan bersambung di Litar Mugello, Itali pada 21 dan 22 Jun ini di mana Hakim Danish akan turun sebagai pilihan utama untuk mempertahankan rekod sempurna musim ini. – KOSMO! ONLINE