MEKAH – Seorang jemaah lelaki Malaysia dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital King Abdullah, di sini semalam berpunca serangan jantung.
Allahyarham Abd. Malek Sudin, 62, menjadi jemaah haji ke-10 yang meninggal dunia di Tanah Suci bagi musim haji 1446H/2025M kali ini.
Ini merupakan kematian kesembilan berpunca daripada serangan jantung, manakala satu lagi kes disebabkan jangkitan kuman serta kegagalan organ.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, TH dan Kerajaan Malaysia mengucapkan takziah terhadap keluarga Allahyarham.
“Beliau yang menginap di Maktab 90A Bangunan Rehab Al Janadriyah telah kembali ke rahmatullah di Hospital King Abdullah disebabkan serangan jantung.
“Jadi ini merupakan kematian yang ke-10 membabitkan jemaah Malaysia. Isteri beliau yang berada di Tanah Suci serta waris di tanah air telah dimaklumkan,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.
Dalam pada itu, kata beliau, TH akan menguruskan dan segala perkara yang perlu dilaksanakan untuk menyempurnakan jenazah Almarhum.
“Sama-sama kita doakan agar roh Almarhum dicucuri rahmat dan dimasukkan ke dalam golongan para syuhada, anbia dan solehin.
“Almarhum ini juga sudah selesai menjalani ibadah wukuf di Arafah pada Khamis lalu,” tambahnya.- KOSMO! ONLINE