KUCHING – Pelbagai projek bagi meningkatkan bekalan air sedang dilaksanakan di seluruh negara pada tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM796.4 juta.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peruntukan itu diberikan dalam bentuk pinjaman kepada kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah bekalan air ketika berdepan Monsun Barat Daya yang membawa kemarau.
“Semua projek ini berada di pelbagai peringkat pelaksanaan dengan tujuh daripadanya dijangka siap pada tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Ibadah Korban di Kampung Tupong Jaya di sini, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, setakat bulan lalu, sebanyak 28 projek sedang dilaksanakan di bawah inisiatif tersebut.
Katanya, sebanyak 12 projek dilaksanakan di Sabah, Kedah (2), Kelantan (1), Pahang (3), Terengganu (3), Sarawak (5) dan Perlis (2).
Sementara itu, Fadillah berkata, kementeriannya sedang memberikan tumpuan terhadap usaha menyelesaikan isu air tidak terhasil (NRW) yang berpunca daripada pelbagai faktor termasuk ketidakcekapan sistem, kebocoran paip dan kecurian air.
Secara keseluruhannya, negara dianggarkan kehilangan kira-kira 40 peratus air akibat kebocoran selain paip lama rosak. – KOSMO! ONLINE