fbpx

Faktor kesihatan, kerja punca pelatih ‘ponteng’ daftar PLKN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil penduduk untuk Surau Kampung Pentadbiran Sungai Rual, Jeli pada Program Peduli Veteran Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Rual, Jeli hari ini. FOTO KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

JELI – Faktor kesihatan dan terikat dengan pekerjaan merupakan antara punca yang menyebabkan pelatih gagal melapor diri ke Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pada Mei lalu.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata, laporan lengkap akan diambil mengenai kegagalan pelatih yang tidak hadir untuk mendaftar PLKN selepas mendengar pembentangan jawatankuasa Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

Menurutnya, laporan tersebut diperlukan kerana pelatih yang terlibat terikat dengan Akta Khidmat Negara 2003.

“Kita sudah mengeluarkan senarai nama pelatih yang terpilih, tetapi ada yang gagal melapor diri pada PLKN 3.0 pada bulan lalu.

“Setakat ini, beberapa alasan yang diberikan oleh pelatih sudah dikenal pasti antaranya melibatkan faktor kesihatan dan terikat dengan pekerjaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Peduli Veteran Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Rual di sini hari ini.

Adly memberitahu, pihaknya bukan hanya mengeluarkan notis kepada pelatih yang terlibat malah turut berhubung dengan individu tersebut.

Menurutnya, Kementerian Pertahanan juga akan melihat secara keseluruhan untuk mengenal pasti punca pelatih gagal melapor diri pada PLKN 3.0 pada bulan lalu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, JLKN memberi peringatan tegas kepada individu terpilih sebagai pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Sesi 2/2025 untuk melapor diri di kem yang ditetapkan sebelum pukul 12 tengah hari pada 16 Mei lalu.

Katanya, pelatih yang gagal mematuhi arahan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 18(1) Akta Latihan Khidmat Negara yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI