fbpx
DALAM keghairahan mengejar prestasi, ramai mula terperangkap dalam kitaran kerja tanpa henti. - GAMBAR HIASAN

Bila tekanan kerja ancam keselamatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENULIS baru-baru ini mendengar keluhan seorang rakan yang mengakui terlalu penat dengan kerja harian.

Katanya, setiap hari terasa padat tanpa ruang untuk berehat, seolah-olah hidup hanya berkisar antara kerja dan tidur.

Budaya kerja di Malaysia kini bergerak pada kadar yang semakin pantas, menuntut pekerja untuk kekal produktif dalam tempoh masa yang panjang sambil sentiasa ‘terhubung’ dengan peranti digital.

Dalam keghairahan mengejar prestasi, ramai mula terperangkap dalam kitaran kerja tanpa henti yang perlahan-lahan menghakis kesejahteraan diri.

Tekanan berterusan ini bukan sekadar isu emosi, malah semakin jelas memberi kesan terhadap kesihatan fizikal.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia membimbangkan.

Lebih setengah juta rakyat Malaysia kini hidup dengan empat penyakit tidak berjangkit, manakala diabetes sahaja menjejaskan 15.6 peratus populasi, termasuk peningkatan kes dalam kalangan individu berusia 18 hingga 29 tahun.

Realiti itu memperlihatkan bahawa tekanan hidup moden, khususnya di tempat kerja, tidak lagi boleh dipandang ringan. Apa yang lebih membimbangkan, banyak kes berkaitan tekanan tidak dapat dikesan melalui pemeriksaan kesihatan biasa.

Menurut Pegawai Perubatan Residen di Sunway Medical Centre, Sunway City, Dr. Wee Hui Yin, pesakit jarang menyebut burnout secara langsung, namun tanda-tandanya jelas.

“Ramai tidak menyedari mereka mengalami burnout, tetapi ia muncul dalam bentuk keletihan, mudah marah, gangguan tidur dan tahap toleransi yang semakin rendah,” jelasnya.

Fenomena ini menunjukkan bahawa tekanan sebenarnya wujud secara meluas. Dalam banyak keadaan, ia dipendam.

Dr. Hui Yin turut mendedahkan bahawa kadar burnout di Malaysia meningkat kepada 67 peratus pada tahun 2024, berbanding 58 peratus pada 2022. Golongan milenial dan Gen Z lebih lantang bersuara mengenai isu ini.

Sebagai generasi ‘sandwich’ mereka memikul tanggungjawab berganda, membina kerjaya sambil menjaga anak-anak dan ibu bapa yang semakin tua. Tekanan ini sering dipendam, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan.

Apabila tekanan menjadi kronik, tubuh manusia akan memberi tindak balas yang kompleks.

Selain kesan fisiologi, tekanan juga boleh mencetuskan gangguan psikologi.

“Perubahan ini meningkatkan risiko diabetes, hipertensi dan penyakit jantung,” katanya.

Namun begitu, usaha saringan kesihatan di tempat kerja sering kali tidak mencapai hasil yang diharapkan.

“Ada pesakit yang datang setiap tahun, tetapi keputusan mereka tidak berubah,” ujarnya.

Justeru, pemeriksaan kesihatan seharusnya menjadi titik permulaan. Pemantauan berkala terhadap tekanan darah, gula, kolesterol, indeks jisim badan, fungsi buah pinggang, tahap stres dan kualiti tidur perlu disusuli dengan intervensi gaya hidup.

Dr. Wee menekankan kepentingan pendekatan holistik terhadap kesihatan.

Bagi individu yang merasakan diri terlalu sibuk, Dr. Wee menegaskan bahawa perubahan tidak perlu berlaku secara drastik.

Antara cadangan praktikal termasuk mengambil rehat pendek. Kesimpulannya, tekanan di tempat kerja bukan lagi isu kecil yang boleh diabaikan, sebaliknya memberi kesan langsung terhadap kesihatan fizikal dan mental. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN