LARIAN di tengah hutan konkrit kini bukan sekadar aktiviti riadah, malah telah menjadi gaya hidup urban yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat bandar.
Di sebalik kesibukan kota dan deretan bangunan tinggi, Kuala Lumpur dan Putrajaya tetap menyediakan ruang untuk mereka yang memilih berlari sebagai gaya hidup.
Salah seorang warga kota yang aktif mengamalkan gaya hidup tersebut ialah Ahmad Afiq Razali yang kerap menyertai larian maraton dengan pemandangan bangunan tinggi sebagai latar.
Bagi pemuda berusia 35 tahun itu, larian di celah bangunan tinggi bukan sekadar senaman tetapi ruang untuknya ‘melarikan diri’ seketika daripada rutin harian yang padat.
“Larian di tengah kota ada aura tersendiri. Kita berlari melintasi mercu tanda yang biasa kita lihat dari dalam kereta.
“Apabila kita berlari di jalan yang biasanya penuh dengan kenderaan tetapi pada hari tersebut dibuka khas untuk pelari, rasa macam kita sedang menguasai kota,” katanya kepada CitaRasa.
Pada tahun ini, Ahmad Afiq telah mendaftarkan diri dalam beberapa acara larian termasuk salah satu acara utama dalam kategori maraton penuh atau full marathon denga jarak larian sejauh 42 kilometer (km).
Acara tersebut ialah Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon yang dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober ini.

Ini kerana bapa kepada dua orang anak itu gagal mencapai sasaran tersebut apabila hanya mampu menamatkan larian dalam masa lima jam, 10 minit pada edisi lalu.
Untuk rekod, acara larian biasanya dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu full marathon yang melibatkan jarak 42.2km, manakala half marathon sejauh 21.1km.
Bagi pelari tahap pertengahan, 10km adalah pilihan popular, manakala 5km pula lebih santai dan sering disertai oleh pelari baharu atau keluarga.
Pada tahun ini, lelaki yang juga pegawai bank itu berhasrat mengekalkan sasaran masa yang sama iaitu empat jam 30 minit sebagai penanda aras yang ingin dicapai dan ditebus.
Sebagai seorang pelari amatur yang bekerja sepenuh masa dan berkeluarga, Ahmad Afiq sedar bahawa kejayaan menamatkan maraton tidak datang dengan mudah, apatah lagi jika ingin mencapai catatan masa yang baik.
“Memandangkan 42km bukanlah jarak yang boleh diambil ringan, saya biasanya akan mulakan latihan seawal empat bulan sebelum hari acara.

“Rutin latihan saya dibahagikan kepada empat fasa utama dengan setiap fasa mempunyai matlamat dan pendekatan tersendiri,” katanya.
Latihan Ahmad Afiq Razali bermula 16 minggu sebelum hari perlumbaan.
Fasa base memberi fokus kepada membina ketahanan asas, sementara fasa building pula meningkatkan stamina dan kelajuan.
Dalam fasa peak, Ahmad Afiq menjalani latihan intensif termasuk simulasi maraton sebenar.
Akhir sekali, fasa taper digunakan untuk pemulihan agar tubuh bersedia sepenuhnya menjelang hari perlumbaan.
Mengimbangi latihan dengan komitmen kerja dan keluarga bukan tugas mudah, sebab itu Ahmad Afiq perlu bijak mengatur masa.
“Antara yang biasa saya lakukan ialah berlari seawal pukul 5 pagi sebelum subuh dan kadang-kadang selepas anak-anak saya tidur sekitar pukul 10.30 malam.
“Kadang-kadang saya berlari di pekarangan rumah sahaja. Saya berterima kasih dan bersyukur kerana mempunyai isteri yang sangat menyokong dan memahami minat saya,” katanya.














