NEW DELHI – Seorang penumpang ditahan selepas cuba menyeludup dua ekor biawak yang disembunyikan dalam bagasinya dari Malaysia ke India, lapor portal berita Must Share News semalam.
Pegawai kastam daripada Unit Perisikan Udara (AIU) menahan penumpang terbabit selepas menerima laporan risikan pada 2 Jun lalu.
Dia diberkas selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tiruchirappalli dengan menaiki penerbangan Batik Air OD223 dari Kuala Lumpur.
Imej yang dimuat naik di laman X menunjukkan reptilia itu dibalut dengan kain hitam, manakala mulut dan kakinya diikat dengan pita pelekat.
Kesemua biawak telah dirampas, demikian menurut portal berita Tamil ABP Nadu.
Siasatan sedang giat dijalankan. – AGENSI