fbpx

Lima sekeluarga maut kereta dirempuh Toyota Alphard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kenderaan yang remuk teruk akibat kemalangan di Kilometer 7 Jalan Jerantut - Maran tengah malam semalam.

JERANTUT – Lima sekeluarga termasuk empat beradik maut selepas kereta jenis Perodua Bezza dinaiki mereka dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard di Kilometer 7 Jalan Jerantut – Maran di sini tengah malam semalam.

Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta, Mohamad Ikmal Ishak, 26, dan isterinya Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, serta tiga adik-beradik Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli, 21, Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani,17.

Difahamkan, semasa kejadian kesemua mangsa dalam perjalanan dari Bota, Perak ke daerah ini.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu berlaku ketika MPV tersebut dalam perjalanan dari Maran menghala ke bandar Jerantut.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta jenis Perodua Bezza dipercayai membuat pusingan U di persimpangan secara mengejut dan berlaku pelanggaran antara kedua-dua kenderaan itu.

“Akibat kemalangan ini pemandu dan empat penumpang kereta Perodua Bezza meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd Razam Taja Ibrahim berkata, pihaknya tiba di lokasi nahas pukul 12.42 tengah malam dan mendapati dua mangsa tersepit, manakala tiga lagi tercampak keluar dari kereta.

Katanya, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI