LONDON – Selepas tempoh pinjaman di Chelsea berakhir, Jadon Sancho terpaksa kembali ke pasukan asalnya, Manchester United, namun situasi itu dijangka tidak berlaku apabila khidmatnya diburu tiga kelab.
Selepas Chelsea, satu lagi pasukan yang berpangkalan di London, Aston Villa dilaporkan menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain sayap berkenaan bersama dua kelab Itali, Napoli dan AC Milan.
Minat yang ditunjukkan oleh tiga kelab berkenaan nyata melegakan United yang tidak bersedia menyambut kepulangan pemain mereka itu dan meletakkannya dalam senarai untuk dijual bagi meningkatkan dana mereka.
Napoli memasuki pasaran perpindahan musim panas kali ini dengan harapan dapat mencari pengganti kepada bekas pemain mereka, Khvicha Kvaratskhelia yang menyertai Paris Saint-Germain pada Januari lalu.
Selain menyenaraikan Callum Hudson Odoi dari Nottingham Forest, pemain Real Betis, Jesus Rodriguez dan seorang lagi pemain United, Alejandro Garnacho, Napoli turut meletakkan Sancho dalam senarai yang perlu diberikan perhatian.
Sementara itu, Milan pula dilapor sudah mengumpulkan maklumat mengenai Sancho sebagai persediaan sekiranya mereka gagal mempertahankan Rafael Leao yang menjadi buruan hangat beberapa kelab.
Bagi Villa, selepas mereka membuat keputusan untuk tidak mendapatkan khidmat Marcus Rashford secara kekal, percubaan untuk mendapatkan Sancho mungkin dianggap realistik ketika tanda harga yang diletakkan adalah lebih murah. – AGENSI