MUNICH – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo muncul wira untuk menamatkan badi 25 tahun pasukan itu selepas menjaringkan gol kemenangan untuk membenam Jerman 2-1 pada aksi separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah (UNL) awal pagi semalam.
Pada perlawanan di Stadium Allianz Arena itu, Ronaldo menjaringkan gol ke-137 di pentas antarabangsaa sekali gus menamatkan penantian kemenangan ke atas Die Mannschaft selepas kali terakhir melakukannya pada Euro edisi 2000.
Lebih menarik, Ronaldo turut melakar kemenangan pertama ke atas Jerman selepas gagal menewaskan seteru Eropah itu dalam lima pertemuan antarabangsa sebelum ini.
Gol tersebut terus melebarkan rekod pemain kelab Al Nassr berusia 40 tahun itu selaku penjaring gol terbanyak sepanjang zaman dengan 937 jaringan secara keseluruhan.
Satu lagi jaringan skuad Selecao dilakukan oleh penyerang muda, Francisco Conceicao yang menyamai pencapaian ayahnya, Sergio Conceicao yang turut menjaringkan gol ke atas Jerman ketika menang pada Euro 2000.
“Saya sangat bangga dengan kejayaan membantu pasukan mara ke final terutama selepas menjaringkan gol.
“Ia detik yang cukup bersejarah kerana ayah saya (Sergio) menjaringkan hatrik ke atas Jerman ketika ini (Euro 2000) dan kini saya memastikan pasukan menamatkan kemarau selepas sekian lama tidak menang ke atas Jerman,” katanya. – AGENSI