Sabtu ini, insya-Allah umat Islam di seluruh negara akan menyambut Hari Raya Aidiladha atau juga dikenali sebagai Hari Raya Haji. Perayaan yang disambut dengan penuh kesyukuran dan keinsafan itu juga sinonim dengan ibadah korban.
Tanggal 10 Zulhijah pada setiap tahun, umat Islam di seluruh dunia akan menjalani ibadah korban. Mereka mengorbankan kambing, lembu atau unta yang sebahagian daripada dagingnya akan diagihkan kepada fakir miskin.
Pastinya, ibadah korban bukan semata-mata menyembelih haiwan dan mengagihkan dagingnya, sebaliknya ia adalah lebih kepada simbol pengorbanan jiwa, harta serta hawa nafsu demi mencari keredaan Allah SWT.
Namun persoalannya, sejauh manakah kita benar-benar memahami makna korban itu sendiri? Adakah korban yang kita lakukan benar-benar bersifat ibadah dan ikhlas kepada Allah atau sekadar menjadi adat atau rutin tahunan?
Dalam konteks masyarakat kita, rasanya ramai juga yang benar-benar sudah menghayati roh sebenar ibadah korban itu. Buktinya, ramai yang melakukan ibadah korban bukan setakat di kawasan mereka tinggal, malah ada yang turut melakukan korban di negara-negara lain yang mempunyai ramai umat Islam yang hidup dalam kemiskinan.
Pun begitu, masih ada juga segelintir daripada kita yang kelihatannya seperti belum benar-benar menghayati roh sebenar ibadah korban. Ini kerana, ada dalam kalangan kita yang bagaikan lebih mementingkan jumlah lembu yang dikorbankan atau lokasi korban dilakukan seolah-olah menjadikan ibadah ini sebagai bahan peragaan status.
Sudah pasti kita tidak mahu ibadah korban yang dilaksanakan hanya sekadar seperti pesta sembelih lembu tahunan semata-mata yang fokusnya mungkin sekadar untuk aktiviti bergambar, bahan untuk content di media sosial atau bermegah-megah dengan kemeriahan majlis.
Sebaliknya lakukanlah ibadah korban dengan ikhlas agar ia benar-benar mampu mendidik jiwa supaya lebih prihatin terhadap kesusahan orang lain sekali gus membuang sifat pentingkan diri sendiri.
Selain itu, pihak-pihak yang diamanahkan menjalankan majlis korban perlulah memastikan agihan daging korban sampai kepada golongan fakir miskin. Jika itu tidak berlaku, maka sia-sialah ibadah korban yang dilakukan.
Ketahuilah, setiap bungkusan daging yang sampai kepada keluarga yang benar-benar memerlukan itu pastinya akan membuatkan ramai daripada keluarga miskin akan tersenyum bahagia dan merasai keadilan Islam yang sebenar.
Lebih daripada itu, ibadah korban juga wajar dijadikan saluran untuk mengurangkan jurang sosial antara kaya dan miskin selain simbol pengorbanan dan ketaatan kepada Allah.
Marilah kita kembali menghayati maksud sebenar korban seperti yang dianjurkan Islam, semoga setiap sembelihan yang kita lakukan bukan sahaja menyentuh perut mereka yang lapar, tetapi juga menyentuh hati
kita untuk menjadi insan yang lebih bertakwa dan berjiwa besar.
Jadi perbetulkan niat kita, kerana korban itu bukan sekadar daging dan darah, ia adalah cerminan jiwa dan bukti keikhlasan.














