RANTAU PANJANG – Setiap kali musim cuti sekolah, pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini sesak apabila rakyat Malaysia mengambil peluang untuk bercuti ke Thailand kerana rindukan masakan Siam.
Tinjauan Kosmo! Ahad sempena cuti sekolah kali ini mendapati, bas persiaran dan kenderaan awam dari negera ini mula memasuki ICQS Rantau Panjang seawal pukul 7 pagi.
Seorang pekerja swasta, Nur Aqilah Yakoob, 38, berkata, ramai yang sanggup menempuh kesesakan di ICQS semata-mata mahu bercuti di Sungai Golok dan menikmati pelbagai hidangan masakan Thailand.
Menurutnya, dia dan keluarga akan memasuki Sungai Golok sebulan sekali untuk menikmati pelbagai hidangan masakan ala Thai seperti tomyam dan siakap kengsom.
“Masakan Siam sebenarnya menjadi tarikan utama kenapa rakyat Malaysia sanggup meredah kesesakan untuk memasuki Thailand terutama pada musim cuti persekolahan.
“Biarpun di Kelantan ada banyak kedai makan menyediakan masakan Siam, tetapi rasanya tidak sama dengan masakan di seberang Sungai Golok,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Katanya, dia keluar dari rumahnya di Bachok dekat sini selepas solat subuh kerana sudah menjangkakan berlaku kesesakan di pintu sempadan.
Menurutnya, tindakan dia dan keluarga keluar awal dari rumah berbaloi apabila hanya mengambil masa kurang daripada setengah jam untuk masuk ke Sungai Golok.
“Kami perlu beratur kira-kira 500 meter untuk melepasi kesesakan di ICQS Rantau Panjang. Alhamdulillah, kami tidak perlu menunggu lama.
“Ini merupakan perkara biasa untuk memasuki sempadan Thailand pada musim cuti persekolahan. Kebiasaannya, orang ramai perlu bersesak lebih sejam di ICQS,” katanya.
Seorang lagi pekerja swasta, Mohd. Zahrul Ikwan Abdullah, 28, dari Kuala Terengganu, Terengganu pula berkata, dia masuk ke Thailand semalam bersama rakan sekerja untuk ke Hatyai.
Katanya, dia menyewa van dan pemandu pelancong yang menunggu di Jabatan Imigresen Sungai Golok.
“Saya terkejut melihat keadaan trafik yang sesak di ICQS Rantau Panjang dan perlu beratur hampir sejam untuk masuk ke sempadan Thailand.
“Kenderaan berpusu-pusu masuk ke sempadan dan motosikal tambang yang menyediakan perkhidmatan membawa penumpang ke Jabatan Imigresen Sungai Golok tidak henti-henti bergerak,” ujarnya.














