fbpx

PBAKL 2025 luar biasa, terima lebih 1.5 juta pengunjung dalam 8 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Khair ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

KUALA LUMPUR – Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 mencatat sejarah tersendiri apabila menerima lebih 1.5 juta pengunjung dalam masa lapan hari menjadikannya antara penganjuran paling berjaya sejak 1981.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd. Khair Ngadiron berkata, hari kedua cuti sekolah semalam merekodkan seramai 250,000 pengunjung.

“Itu merupakan rekod tertinggi yang pernah dicatatkan. Saya dapati apabila pesta buku diadakan pada musim cuti sekolah, sambutannya jauh lebih memberangsangkan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.

Beliau berkata, pihaknya melakukan beberapa penambahbaikan bagi memastikan acara kali ini lebih selesa dan teratur dengan menambah bilangan dewan dan mengubah susun atur reruai.

“Walaupun pengunjung ramai, tapi tidak sesak seperti tahun lepas kerana kita ubah susunan reruai.

“Tingkat lima kita gunakan sepenuhnya dan kawasan yang luas membolehkan pengunjung pergi ke reruai-reruai tertentu. Pempamer juga gembira dengan sambutan tersebut,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Mohd. Khair berpandangan buku fizikal masih mempunyai tempat di hati rakyat Malaysia biarpun e-book semakin mendapat perhatian.

“Pegang buku tidak sama seperti pegang telefon bimbit. Buku ada nilai autentik, boleh diselak dan kita tahu siapa penerbitnya.

“Saya percaya buku akan tetap kekal dan relevan,” katanya.

Beliau berkongsi permintaan terhadap buku-buku lama masih tinggi apabila ada naskhah yang dahulunya berharga RM1 kini dijual mencecah RM250 sebuah kerana nilai koleksinya.

Tambah Mohd. Khair, PBAKL 2025 menerima penyertaan 258 pempamer termasuk 28 dari luar negara seperti Asia Barat selain pempamer tempatan yang menjual buku terbitan antarabangsa.

“Mereka sendiri minta kita melanjutkan hari kerana sambutan yang diterima luar biasa. Ini menunjukkan semangat cinta mereka (pengunjung) terhadap buku amat tinggi,” ujarnya.

Mohd. Khair memberitahu, kehadiran delegasi dari lebih 23 negara sempena Asean Rights Fair (ARF) turut memeriahkan lagi suasana pesta buku pada tahun ini.

Katanya, pihak penganjur sedang melakukan kaji selidik ke atas pempamer dan pengunjung PBAKL 2025 bagi menyediakan perkhidmatan lebih baik pada pesta buku tahun hadapan.

“Kita sudah melantik konsultan bagi tujuan itu agar kita dapat ambil pandangan mereka dan mencernakan apa yang dicadangkan,” ujarnya – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI