fbpx
Seorang penduduk menunjukkan gambar beruang matahari yang dirakam di Kampung 10, Taman Agropolitan, Rantau Manis, Gua Musang baru-baru ini. – AIMUNI TUAN LAH

Terperanjat ‘disapa’ beruang matahari ketika sidai baju

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Kira-kira 3,000 penduduk Taman Agropolitan, Rantau Manis di sini hidup dalam ketakutan selepas melihat seekor beruang matahari memakan tanaman, ternakan dan menggali busut anai-anai berhampiran rumah mereka sejak tiga bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Taman Agropolitan, Roslee Ibrahim berkata, haiwan buas itu dilihat berkeliaran di kawasan Fasa 1 sebelum muncul di Kampung 10 kira-kira dua minggu lalu.

Selain kesan cakaran kuku pada pokok, penduduk memaklumkan tanaman seperti nangka, kelapa dan ayam turut dimakan haiwan berkenaan.

“Dalam kejadian dua hari lalu, penduduk turut merakam beruang itu menggali busut untuk memakan anai-anai menyebabkan mereka ketakutan kerana haiwan tersebut seperti kelaparan.

“Kami bimbang haiwan itu akan masuk ke dalam rumah dan mengancam anak-anak kecil pula selepas ini,” katanya ketika ditemui semalam.

Seorang penduduk, Siti Aminah Zakaria, 44, pula berkata, dia melihat haiwan buas tersebut mendapatkan nangka di pokok pada jarak hanya tiga meter dari rumahnya pada pukul 6 petang, Rabu lalu.

“Anak saya yang berada di luar rumah menjerit. Kelmarin (Rabu) haiwan itu muncul sekali lagi berhampiran kereta yang diletakkan di tepi rumah. Jiran yang sedang menjemur pakaian terperanjat dan segera lari masuk dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, laporan sudah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengenai ancaman beruang matahari tersebut.

“Pihak Perhilitan akan ke kawasan itu untuk membuat siasatan. Kita harap mereka bertindak segera termasuk memasang pe­rangkap.

“Penduduk juga dinasihatkan supaya menjaga keselamatan diri serta anak-anak dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh menyebabkan haiwan itu bertindak ganas,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN