PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki memasuki sebuah balai polis ketika dikejar sebuah kenderaan oleh suami rakannya mengundang pelbagai reaksi orang ramai.
Terdahulu, lelaki itu dikejar sebuah kenderaan yang mendakwa suami kepada wanita dibawanya dalam kenderaan itu.
Menerusi video yang tersebar, suami tersebut pada awalnya menyangka isterinya berada di tempat kerja, bagaimanapun, mendapati wanita itu bersama seorang lelaki yang bukan mahram.
Situasi menjadi semakin tegang apabila suami itu mengejar kereta yang dipandu lelaki terbabit, dipercayai membawa ‘lari’ isterinya.
Kedua-dua pihak turut dilihat saling merakam antara satu sama lain sepanjang kejadian.
“Lima kali berpusing-pusing, dia tak nak berhenti. Dia takut lelaki ni kena pukul. Cantik, dia nak pergi balai polis,” ujar si suami dalam rakaman tersebut.
Pasangan yang didakwa curang itu menuju ke balai polis, namun kehadiran mereka mencetuskan suasana janggal apabila anggota polis bertugas kelihatan enggan campur tangan.
Tinjauan di ruangan komen, ramai yang menyifatkan kejadian tersebut lucu dan tidak masuk akal.
“Fungsi si perempuan tu rakam? Dah dia yang curang, dia pulak yang rakam?” komen @HessaLynnYoung.
“Sendiri salah sendiri pergi balai,” kata @pareez.
“Tak habis kes macam ni, memang musim ke? Takutnya,” ujar @millahorched. – KOSMO! ONLINE