fbpx

‘Gajah itu hanya beberapa meter di belakang saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Azerie menunjukkan luka pada lututnya ketika berlari menyelamatkan diri akibat dikejar gajah betina di ladang kelapa sawit di Felda Aring 11, Gua Musang semalam. FOTO AIMUNI TUAN LAH./KOSMO!

GUA MUSANG – Seorang mandur ladang berdepan detik cemas apabila dikejar seekor gajah liar betina sejauh lebih 100 meter ketika membuat rondaan di ladang kelapa sawit di Felda Aring 11 di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5 petang itu, Mohamad Azerie Mohd. Razali, 31, sempat menyelamatkan diri, namun mengalami luka pada lutut.

Mangsa berkata, ketika kejadian, dia sedang menunggang motosikal seorang diri untuk membuat rondaan di ladang tersebut.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, dia ternampak seekor gajah liar berada dalam keadaan untuk menyerangnya.

“Disebabkan terkejut, saya meninggalkan motosikal dan berlari ke arah pokok sawit dengan harapan gajah itu berhenti mengejar. Haiwan tersebut sebaliknya terus mengejar dan hanya berada beberapa meter di belakang saya.

“Saya bertindak terjun dari kawasan teres ladang setinggi dua meter, namun gajah itu tetap mengejar. Apabila tiba di teres bukit ketiga, saya terjatuh dan haiwan tersebut juga turut terjatuh dengan bahagian perutnya mengenai paha saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Chiku 3 hari ini.

Mohamad Azerie memberitahu, dalam keadaan menahan kesakitan, dia berlari sejauh 200 meter ke jalan utama untuk meminta bantuan sebelum dibawa ke pejabat ladang seterusnya ke Klinik Aring 1 dan Hospital Gua Musang.

“Saya bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan kecuali sakit di paha kiri akibat terkena perut gajah ketika terjatuh.

“Pengalaman ini tidak mungkin saya lupa. Saya akui trauma dan mungkin akan mengambil cuti buat sementara waktu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI