fbpx
AI tidak mengambil alih kerja manusia tetapi menyokong untuk bekerja dengan lebih selamat dan cekap.

K2

AI untuk kesihatan dan keselamatan pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KECERDASAN buatan (AI) kini menjadi elemen penting dalam sistem keselamatan dan pemantauan moden terutamanya dalam sektor industri serta infrastruktur kritikal.

Dalam dunia yang semakin kompleks, keperluan untuk sistem pemantauan yang pantas, tepat dan mampu bertindak secara automatik semakin mendesak. AI menjawab cabaran ini dengan keupayaan analitik yang canggih dan tindak balas masa nyata. Hal ini turut menjadi intipati kepada penganjuran Simposium Pertama Keselamatan dan

Kesihatan Pekerjaan (OSH) Tech 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC) baru-baru ini.

Menurut Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak, Ts. Osman Isa, gabungan kepintaran buatan dan kebijaksanaan manusia membuka peluang baharu untuk mencipta tempat kerja yang lebih selamat, efisien dan mampan.

“AI bukan pengganti manusia tetapi rakan strategik yang memperkukuh keselamatan dan prestasi organisasi.

“Dengan pelaburan dalam teknologi dan latihan yang betul, sektor industri boleh melangkah ke hadapan dalam membina ruang kerja yang bukan sahaja produktif tetapi juga menjaga keselamatan semua pihak,” katanya pada sidang media OSH Tech 2025 baru-baru ini.

Tambahnya, penganjuran simposium itu juga merupakan platform untuk memperkenalkan dan memberi pendedahan kepada penggiat industri terhadap akses AI yang boleh diguna pakai untuk diadaptasi serta menaik taraf aspek keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

OSMAN (tengah) ketika merasmikan OSH Tech 2025 yang berlangsung di SACC baru-baru ini. – M. FIRDAUS JOHARI

Kongsinya lagi kepentingan AI dalam keselamatan dan kesihatan merangkumi pelbagai aspek seperti pengesanan awal ancaman, automasi dan pengurangan beban kawalan manual, pemantauan 24/7 dengan ketepatan tinggi, analisis corak dan pencegahan serta pengecaman wajah dan akses kawalan.

Kongsinya, sistem pengawasan berasaskan AI mampu menganalisis rakaman video secara langsung dan mengesan tingkah laku mencurigakan, pergerakan luar biasa atau kemasukan tanpa kebenaran. Ini membolehkan tindakan pencegahan diambil sebelum insiden berlaku.

Jelas beliau, dengan kebolehan untuk mengenal pasti trend daripada data sejarah, AI membantu meramalkan dan mencegah kemalangan atau kegagalan sistem sebelum ia berlaku.

Malah, AI membolehkan kawalan keselamatan yang lebih ketat di premis kerja melalui pengecaman wajah automatik dan sistem log akses pintar.

Tambahnya, walaupun AI menawarkan keupayaan luar biasa, keselamatan tempat kerja tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada teknologi.

Kerjasama antara AI dan manusia merupakan kunci untuk mencipta persekitaran kerja yang benar-benar selamat dan lestari.

“AI berperanan sebagai ‘mata dan telinga tambahan’ yang membantu pekerja mengesan risiko yang mungkin terlepas pandang.

“Apabila AI digunakan dengan betul, ia tidak mengambil alih kerja manusia tetapi menyokong mereka untuk bekerja dengan lebih selamat dan cekap. Latihan dan pendidikan berterusan membolehkan pekerja memahami bagaimana untuk berinteraksi serta bekerjasama dengan sistem AI,” kongsinya.

Katanya lagi, gabungan data AI dan penilaian manusia membolehkan tindak balas terhadap insiden berlaku lebih cepat dan dengan pertimbangan yang lebih menyeluruh.

Contohnya, AI boleh mengesan kebakaran kecil melalui penderia haba dan manusia boleh mengesahkan dan memulakan prosedur pemindahan dengan segera.

“Dengan sokongan AI, organisasi boleh mengamalkan budaya keselamatan proaktif apabila risiko dapat dikenal pasti lebih awal, dilaporkan secara automatik dan ditangani dengan kerjasama antara sistem dan pekerja.

“Terdapat pelbagai teknologi yang boleh digunakan seperti penglihatan komputer (computer vision) untuk analisis video masa nyata, sensor internet pelbagai benda (IoT) bersepadu AI untuk pemantauan persekitaran dan mesin, pembelajaran mesin untuk ramalan risiko berdasarkan data sejarah dan analitik tingkah laku AI untuk mengenal pasti kelakuan luar biasa di tempat kerja,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN