KELAB tempatan diingatkan supaya tidak terlalu ‘kemaruk’ untuk berbelanja besar bagi melengkapkan kuota pemain tempatan dan import seperti yang ditetapkan oleh Liga Bola Malaysia (MFL).
Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim, berkata perbelanjaan tidak boleh terlalu tertumpu kepada mendapatkan pemain yang dihajati kerana masih ada aspek lain perlu dilunaskan oleh kelab berstatus profesional.
“Kalau MFL benar daftarkan 30 pemain, tidak semestinya kelab perlu penuhkan kuota berkenaan dan perbelanjaan juga kena diagihkan kepada perkara lain. Misalnya menyediakan doktor pakar dalam sains sukan atau pun menggajikan fisioterapi berkemahiran.
“Contohnya, kalau doktor ditawarkan gaji RM10,000 sebulan, pasti ramai yang berminat. Manfaatnya pasti besar, elemen sains sukan dapat diterapkan dan mungkin juga pemain yang cedera dapat dipulihkan lebih awal sekali gus dapat bantu kelangsungan pasukan sepanjang musim,” katanya.
Dalam kenyataan, kelmarin Ahli Lembaga Pengarah bersetuju meminda jumlah pendaftaran pemain iaitu 34 pemain untuk kelab yang bersaing dalam Liga Juara-Juara Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara 2 (ACL2), 32 pemain untuk kelab-kelab lain kepada 30 pemain.
Semua kelab dibenarkan mendaftar 15 pemain asing, menyaksikan tujuh pemain boleh disenaraikan atas padang dan dua simpanan iaitu jika dipecahkan ia babitkan empat kuota import terbuka, satu Asia dan dua pemain dari Asia Tenggara.
“Pasukan yang akan dapat manfaat besar pastinya kelab yang akan bermain di Asia. Untuk pasukan lain, belanjalah ikut kemampuan dan paling penting mereka kena ‘pegang duit’ dulu sebelum mengatur apa juga perancangan,” kata Zakaria.