MANCHESTER – Pengadil perlawanan, Thomas Bramall dianggap menjadi penghalang yang meleburkan hasrat Aston Villa untuk melangkah ke saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
Kekalahan 0-2 kepada Manchester United pada aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford kelmarin menyebabkan Villa terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tangga keenam dan sekadar layak ke Liga Europa.
Pengurus Villa, Unai Emery menyifatkan Bramall melakukan kesilapan besar apabila tidak mengiktiraf jaringan Morgan Rogers pada minit ke-73 selepas meniup wisel terlalu awal meskipun pemain itu tidak melakukan kesalahan.
Insiden itu terjadi apabila penjaga gol United, Altay Bayindir gagal menangkap kemas bola yang kemudiannya dirampas Rogers sebelum pemain tengah berkenaan menolak masuk bola ke dalam gawang.
“Jika melihat semula rakaman TV, rampasan (bola) itu tidak ada sebarang masalah tetapi kami terpaksa menerima keputusan tersebut. Bagi saya, ia (keputusan pengadil) satu kesilapan yang sangat besar.
“Saya bercakap dengannya (Bramall) selepas perlawanan dan beliau tahu mengenainya. Kami sepatutnya mendapat sekurang-kurangnya satu gol dan ia mampu menaikkan semangat pemain-pemain,” kata Emery.
Sementara itu, EPL menerusi satu kenyataan menjelaskan, insiden tersebut tidak boleh diperiksa menggunakan Video Bantuan Pengadil (VAR) memandangkan Bramall sudah meniup wisel sebelum jaringan dilakukan.
Dalam pada itu, Villa juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika penghujung separuh masa pertama selepas penjaga golnya, Emiliano Martinez dilayangkan kad merah kerana mengasari Rasmus Hojlund. – AGENSI