fbpx

Chelsea, bekas juara Eropah kembali ke UCL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARESCA (kanan) berbangga dengan pencapaian anak-anak buahnya untuk berada dalam kelompok empat teratas musim ini. - AFP

NOTTINGHAM – Chelsea kembali ke kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan selepas berjaya menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi kempen 2024/25 dalam kelompok lima teratas.

The Blues memastikan kedudukan keempat menjadi milik mereka selepas melaksanakan misi wajib menang dengan menewaskan Nottingham Forest 1-0 pada aksi terakhir di Stadium City Ground kelmarin.

Meskipun bermula hambar selain memberi ruang kepada pasukan lawan untuk menyerang di separuh masa pertama, namun Chelsea bangkit di babak kedua dan meledak gol kemenangan menerusi Levi Colwill pada minit ke-50.

Pengurus Chelsea, Enzo Maresca memuji aksi ditampilkan barisan pemainnya kerana berjaya mencatat kemenangan di City Ground selain menyindir pihak-pihak yang tidak percaya dengan kemampuan mereka.

“Saya tidak pernah ragu dengan kemampuan pemain kerana mereka sentiasa menunjukkan kemahuan tinggi dalam setiap perlawanan. Tidak semua pasukan mampu menang di sini kerana ia kubu kuat Forest.

“Manchester City tewas di sini, manakala Arsenal dan Liverpool seri tetapi Chelsea menang. Ia bukan sesuatu yang mudah dan semua pemain menunjukkan bahawa mereka sangat bagus,” katanya.

Pada masa sama, beliau menepis dakwaan bahawa skuad kendaliannya tidak cukup bagus untuk mencabar kedudukan empat teratas kerana rata-rata dibarisi pemain muda yang tidak cukup pengalaman.

“Ramai orang mendakwa kami terlalu muda dan tidak cukup bagus. Bagaimanapun, malang buat mereka kerana kami berjaya membuktikan mereka salah menerusi kemenangan pada hari ini (kelmarin),” ujar Maresca. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI