KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menyiasat satu kes tular berhubung murid yang didakwa dikepung dan dimarahi sekumpulan guru di khalayak.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Pendidikan untuk memantau perkara itu.
Katanya, warga pendidik perlu lebih berhati-hati dalam menggunakan media sosial agar tidak menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan.
“Rakaman yang ditularkan memberi impak besar terhadap masyakarat. Namun, perkara ini masih dalam siasatan.
“Saya ambil tanggungjawab sepenuhnya untuk memberikan tumpuan terhadap isu ini supaya kita dapat terus mengingatkan semua tentang integriti dan etika guru,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran dan Simbolik Penyerahan Koleksi Komik Wira Anti Rasuah di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Menurut Fadhlina, semua guru perlu mematuhi garis panduan ditetapkan dalam Standard Guru Malaysia 2.0 yang menekankan aspek integriti dan etika selaras dengan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
Jelasnya, garis panduan itu perlu sentiasa dijadikan panduan utama warga pendidik, bukan sahaja dalam atau luar bilik darjah, malah ketika menggunakan media sosial.
“Walaupun warga pendidik mempunyai ruang dan hak untuk menyuarakan pandangan, namun ia perlu dilakukan secara beradab ikut saluran yang sesuai,” katanya.
Tambah Fadhlina, walau apapun isu yang timbul, beliau yakin dan percaya bahawa ada ruang lebih selamat dan privasi untuk memastikan bahawa setiap perbincangan dan isu dapat diselesaikan secara baik.
“Saya sentiasa mengingatkan guru-guru kita tentang integriti dan etika mereka, baik dalam atau luar kelas mahupun di media sosial,” katanya. – KOSMO! ONLINE