JOHOR BAHRU – Bas yang terbakar ketika membawa enam penuntut di dalam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Rabu lalu merupakan kenderaan milik syarikat luar yang dilantik sebagai operator rasmi perkhidmatan pengangkutan kampus.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, pihaknya telah melaksanakan siasatan dalaman berhubung kejadian itu bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
Sehubungan itu, pihak universiti awam berkenaan akan mengambil tindakan serta-merta demi keselamatan penghuni kampus khususnya penuntut dan kakitangan.
“UTM akan memperkasa ekosistem keselamatan dalam kampus di mana keselamatan warga universiti adalah agenda utama. Tiada kompromi dibuat melibatkan aspek keselamatan.
“Selain itu, audit risiko keselamatan akan dibuat menerusi penubuhan pasukan khas melibatkan semua aset pengangkutan, fasiliti kritikal dan sistem sokongan keselamatan di seluruh kampus,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Shafry, pihaknya juga akan memperkukuh prinsip ‘safety first’ dalam kalangan warga universiti sebagai amalan harian yang menyeluruh, merangkumi aspek pengurusan dan operasi, mewujudkan kampus selamat, berdaya tahan dan bertanggungjawab. – KOSMO! ONLINE