RIYADH – Seramai 99 jemaah Indonesia dijangkiti radang paru-paru (pneumonia) ketika menunaikan ibadah haji di Arab Saudi, dengan seorang meninggal dunia akibat jangkitan pernafasan akut, lapor agensi berita Antara.
Pengumuman itu dibuat Ketua Pusat Kesihatan Haji Kementerian Kesihatan, Liliek Marhaendro Susilo kelmarin.
“Kita mesti berhati-hati kerana penyakit ini boleh merebak dan menjadi lebih serius jika tidak dirawat dengan segera.
“Semua pesakit sedang menerima rawatan intensif di hospital rujukan di Mekah dan Madinah,” kata Liliek.
Menurutnya, jangkitan pneumonia boleh mengancam nyawa terutama dalam kalangan jemaah haji yang menghidap penyakit kronik.
“Keadaan cuaca panas melampau, kesesakan dan kepenatan fizikal menjadi punca utama peningkatan kes pneumonia,” tambahnya.
Klinik Kesihatan Haji Indonesia (KKHI) melaporkan, suhu di Mekah dan Madinah kelmarin mencecah antara 41 hingga 47 darjah Celsius.
Pendedahan kepada panas terik tanpa pengambilan air mencukupi boleh menyebabkan dehidrasi sekali gus meningkatkan risiko jangkitan.
“Kami menggesa semua jemaah haji supaya memakai memakai pelitup muka di tempat sesak, kerap mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer dan minum sekurang-kurangnya dua liter air setiap hari,” tambah Liliek. – AGENSI