PETALING JAYA – Seorang pemilik kedai makan meluahkan rasa kecewa apabila mendapati pekerjanya menyembunyikan kod respon pantas (QR) bagi mengelakkan pelanggan membuat bayaran secara digital.
Menurut perkongsian pengguna Threads, @Missmyra96, seorang pelanggan mendakwa ingin membuat bayaran menggunakan kod QR, namun pekerja kedai memaklumkan tiada kemudahan tersebut dan meminta bayaran secara tunai.
“Saya pun pelik sebab sebelum ni ramai sahaja bayar guna kod QR. Tapi sejak kebelakangan ni, tiada sorang pun guna kod QR. Rupa-rupanya pekerja saya tak bagi, suruh bayar tunai sahaja,” katanya.
Lebih mengejutkan, pelanggan berkenaan kemudian memaklumkan telah membayar RM21 secara tunai untuk makanan berharga RM19, sekali gus menimbulkan tanda tanya terhadap kejujuran pekerja tersebut.
Insiden itu mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan orang ramai, yang turut berkongsi pengalaman mereka berdepan pekerja yang disyaki menyeleweng bayaran pelanggan.
“Bahaya ini sudah lah pemilik kedai kata jumlah RM19, pekerja kata tunai RM21,” kata @Nurull_nuoi.
“Dah boleh cari pekerja lain, main harga lepas tu yang lebih, masuk dekat ‘poket’ dia. Kerja nak cari rezeki halal tapi ini dah jadi haram,” kata @Nrshezz_.
“Saya pernah kantoikan pekerja kedai makan untuk kedai yang saya selalu pergi. Pekerja tukar gambar kod QR bank akaun sendiri. Setiap kali pelanggan bayar duit itu masuk ke akaun dia,” kata @Khairulkhuzaimi. – KOSMO! ONLINE