PETALING JAYA – Perhimpunan Antara Parlimen Interface ASEAN (ASEAN-AIPA Interface) ke-14 yang akan berlangsung Isnin ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 merupakan tanda komitmen ASEAN untuk mengukuhkan sinergi institusi antara cabang eksekutif dan legislatif di seluruh rantau ini.
Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat dalam kenyataan berkata, mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) merupakan sesi dialog khusus antara ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN bersama dengan speaker, timbalan speaker serta wakil-wakil Parlimen di bawah ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA).
“Mesyuarat ini menyediakan suatu platform strategik untuk menyelaraskan keutamaan serantau melalui tadbir urus yang terangkum dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
“Mesyuarat ini juga menzahirkan visi ASEAN sebagai komuniti berpaksikan rakyat dan berorientasikan rakyat hanya dapat direalisasikan sepenuhnya apabila dilengkapi dengan kerjasama dan pengawasan Parlimen yang kukuh bagi memastikan pembangunan serantau berlandaskan prinsip ketelusan dan akauntabiliti,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, sesi berkenaan akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan akan menyaksikan penyampaian Mesej AIPA Presiden AIPA merangkap Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Ia bertemakan ‘Parlimen Menerajui Pertumbuhan Terangkum dan ASEAN yang Mampan’ dengan ASEAN–AIPA Interface akan menekankan peranan penting institusi Parlimen dalam
menjayakan agenda lebih luas Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, khususnya dalam aspek keterangkuman dan kemampanan.
“Melalui tumpuan legislatif terhadap bidang-bidang kritikal seperti keselamatan makanan, peralihan tenaga yang adil, tadbir urus digital dan daya tahan iklim, AIPA menyokong komitmen ASEAN untuk memastikanpembangunan yang bersifat inklusif, lestari dan tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang dalam arus kemajuan serantau,” katanya. – KOSMO! ONLINE