JOHOR BAHRU – Tiada perpecahan buruk diramalkan berlaku selepas berakhirnya pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang akan berlangsung esok dan ahli parti akan bersatu hati kembali bagi menyokong Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil, berkata, beliau tidak melihat ‘kepanasan’ dan ‘ketajaman’ seperti yang berlaku pada Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, kongres paling buruk pernah dihadapi parti berkenaan.
“Saya lihat PKR, sebelum ini sudah melalui zaman perpecahan akibat pengkhianatan dan itu adalah antara zaman paling gelap serta paling kelam bagi parti, namun kita bertahan.
“Bukan itu sahaja, malah PKR akhirnya berjaya menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Jadi saya tak jangka kali ini akan separah itu (Kongres Nasional PKR 2019). Ini kerana tak berlaku pengkhiatan seburuk dan sejahat seperti apa yang dilakukan dan kita saksikan terutama sewaktu Langkah Sheraton,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Taklimat Media Sempena Kongres Nasional PKR 2025, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Agung PKR, Dr Fuziah Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim.
Selasa lalu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar membayangkan sebarang perbalahan dalaman berisiko untuk membawa kepada kehancuran kepada parti itu dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Justeru, beliau dilaporkan menggesa semua ahli parti mengelak sebarang perbalahan, sebaliknya berusaha untuk merapatkan barisan sebaik pemilihan parti berakhir.
Ditanya apa langkah yang diambil bagi menangani perpecahan dalaman terutama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, pimpinan PKR akan turun ke akar umbi bagi merapatkan saf dan mengeratkan hubungan.
“Selepas pemilihan ini, dalam tempoh sebulan dua, pimpinan akan turun ke cabang-cabang dan negeri untuk merapatkan saf dan mengeratkan semula silaturahim, biduk lalu kiambang bertaut. Memang adat dan resmi proses pemilihan itu dalam ramai yang ingin mencabar dan bersaing akhirnya jumlah jawatan hanya sebanyak itu.
“Namun parti sentiasa memikirkan cara untuk dikumpulkan dan dirangkulkan dan dibawa bersama seluruh kekuatan dan akan disediakan ruang dan peluang mungkin jawatan dan fungsi tertentu supaya semua yang bertanding tetapi tidak berjaya masih boleh bersama di peringkat pusat,” katanya.
Fahmi berkata, beliau juga sudah menemui beberapa cabang di seluruh negara dan menyifatkan suasana dalaman parti ketika ini berada dalam keadaan amat baik.
“Suasana kali ini jauh lebih baik dan tidak berlaku sebarang insiden yang tidak diingini di peringkat cabang ketika pemilihan bulan lalu.
“Malah apabila bercakap dengan akar umbi dan duduk bersama dengan cabang, kumpulan berbeza boleh duduk semeja kerana mereka ingin lihat PKR ini bersatu padu kukuh serta utuh, supaya dapat beri kekuatan kepada Presiden,” katanya.-KOSMO! ONLINE