fbpx
Adibah yang merupakan wanita pertama menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku berpendapat anak-anak bukan tidak suka membaca buku, tetapi belum jumpa buku yang mereka suka. – FAIZ ALIF ZUBIR

Adibah pacu industri buku negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DIBERIKAN peranan untuk menerajui agensi penting industri buku negara, Perbadanan Kota Buku (Kota Buku) menjadi satu tanggungjawab besar yang dipikul oleh Adibah Omar.

Dia yang merupakan wanita pertama menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kota Buku mempunyai hasrat untuk menjadi pemangkin perubahan dan memacu industri buku negara untuk terus maju kehadapan.

Ini penting kerana buku menjadi ‘landasan ilmu’ untuk negara melahirkan masyarakat yang berilmu pengetahuan.

Adibah, 46, ketika ditemui K-Wanita baru-baru ini berkata, dia memikul satu amanah penting untuk terus memajukan industri buku negara.

Menurutnya, Kota Buku yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditubuhkan sejak tahun 2011 untuk menjadi pusat sehenti kepada industri buku negara.

“Tugas kita adalah bagi membantu industri buku supaya dapat terus berdaya saing.

“Kita perlu membantu mereka yang terlibat dalam penghasilan buku seperti penerbit, penulis, pencetak dan lain-lain lagi untuk terus berdaya dan berkembang dalam industri ini.

“Memimpin Kota Buku memerlukan saya dan pasukan memikirkan strategi-strategi yang boleh mencipta permintaan kepada penawaran produk di dalam industri buku,” katanya.

Tambah Adibah, dia perlu memastikan ada permintaan yang tinggi kepada buku-buku yang ditawarkan di pasaran.

Wanita yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu mula dilantik untuk menerajui Kota Buku pada tahun 2022 yang mana sebelumnya kebanyakan CEO Kota Buku ialah lelaki.

Setelah hampir tiga tahun menerajui agensi tersebut, dia telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif yang membantu memacu industri buku negara.

Salah satu inisiatif yang dilaksanakan adalah dengan mewujudnya Kota Buku Digital.

Adibah telah melancarkan pelbagai inisiatif apabila menerajui Perbadanan Kota Buku.

Kota Buku Digital yang merupakan inisiatifnya itu menghimpunkan keseluruhan ekosistem industri buku dan menjadi platform yang memudahkan pengguna mendapatkan bahan bacaan yang berkualiti tinggi dan terkini dengan harga yang kompetitif.

Secara dasarnya, Kota Buku yang ditubuhkan sejak lebih sedekad itu mempunyai matlamat untuk membangunkan sebuah Kota Buku Fizikal yang maujud.
Namun, sehingga hari ini matlamat itu belum dapat direalisasikan.

Pun begitu, apabila Adibah menerajui Kota Buku, antara perkara pertama yang ditekankan olehnya adalah untuk memenuhi mandat tersebut bagi mewujudkan Kota Buku Fizikal.

Namun, dia sedar bukan mudah untuk membina sebuah kota buku fizikal kerana memerlukan sejumlah dana yang besar.

“Oleh yang demikian saya mencadangkan untuk membina Kota Buku Digital terlebih dahulu.

“Jadi, kita bangunkannya terlebih dahulu dengan menyediakan fungsi-fungsi yang bagus untuk memacu keperluan industri buku.

“Dengan adanya Kota Buku Digital ini kita akan simpan sedikit keuntungan daripada aktiviti perniagaan sedia ada untuk membina Kota Buku Fizikal pada masa hadapan,” jelasnya.

Selain itu, di bawah teraju Adibah juga Kota Buku telah melaksanakan pemberian baucar buku pada tahun lalu.

“Ini adalah perkara yang kita usahakan untuk membantu industri buku dan dalam masa yang sama dapat mencapai objektif KPM.

“Kita sediakan platform digital dan anak-anak yang menerima baucar buku boleh menebusnya, secara tidak langsung kita dapat melahirkan pembaca baharu dan dalam masa yang sama industri buku dapat terus berdaya,” terangnya.

Adibah menjelaskan, antara cabaran yang dihadapinya dalam memacu industri buku negara adalah untuk memastikan adanya pendemokrasian akses perbukuan.

ADIBAH yang merupakan ibu kepada enam orang anak percaya menjadi seorang ketua yang hebat, tidak seharusnya mengorbankan komitmen untuk keluarga.

Malah, dia juga menyedari bahawa bahan bacaan di sekolah terutamanya di pusat sumber tidak dikemas kini dengan bahan bacaan yang terkini.

“Kita selalu fikir kenapa anak-anak tidak suka baca buku dan apabila kita menyelaminya kita dapat satu kesimpulan untuk hal tersebut.

“Sebenarnya anak-anak bukan tidak suka membaca, tetapi mereka belum jumpa dengan buku-buku yang mereka suka.

“Begitu juga untuk anak-anak di kawasan pedalaman mereka sukar untuk mendapatkan bahan bacaan yang mereka mahukan,” terangnya.

Tambahnya, oleh itu mereka memudahkan urusan pendemokrasian akses perbukuan bagi membolehkan anak-anak di pedalaman mendapat bahan bacaan yang sama seperti anak-anak yang tinggal di bandar.

Bagi Adibah, kejayaan Kota Buku yang paling signifikan adalah dengan tertubuhnya Kota Buku Digital.

Menurutnya, untuk menjadi negara maju akses kepada bahan bacaan terkini dan berkualiti perlu ada.

“Di platform Kota Buku Digital sudah ada lebih 800,000 bahan bacaan terkini dan berkualiti yang boleh dipilih oleh pembaca.

“Kita mudahkan akses untuk semua orang mendapatkan buku yang mereka mahukan dan ini akan membentuk amalan membaca dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Berbicara mengenai dirinya, Adibah menjelaskan bahawa dia merupakan seorang guru sebelum memilih untuk ‘pencen’ awal.

Imbasnya, selepas tamat alam persekolahan dia mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG).

Ketika di IPG, dia dapat peluang untuk menimba ilmu di University of Exeter,United Kingdom dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Kemudian dia memulakan kerjayanya sebagai seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Kelana Jaya, Selangor.

“Saya hanya menjadi guru selama lima tahun sebelum mendapat peluang untuk berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia bagi bahagian pengurusan dan ditempatkan di Majlis Buku Kebangsaan.

“Di sinilah saya mula jatuh cinta dengan industri buku dan jawatan terakhir saya di situ adalah sebagai Ketua Penolong Pengarah Majlis Buku Kebangsaan,” ujarnya.

Adibah menyedari bahawa industri buku ini juga tidak lari dengan bidang perniagaan, namun dia tidak mempunyai pengalaman dan latar belakang dalam bidang perniagaan.

Untuk itu, dia mengambil keputusan untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang pentadbiran perniagaan, pengkhususan dalam pengurusan strategik di Azman Hashim International Business School di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Menjadi seorang ibu kepada enam cahaya mata dan dalam masa yang sama melanjutkan pengajian secara separuh masa bukanlah sesuatu yang mudah.

Malah, dia hampir putus asa, namun dengan tekad untuk menuntut ilmu, Adibah berjaya mengharunginya dan menyelesaikan pengajian tersebut dalam tempoh dua tahun.

Apa yang lebih membanggakan dia berjaya menyempurnakan pengajian itu dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 4.0.

“Apabila melanjutkan pengajian dalam bidang ini baru saya dapat gambaran jelas tentang bagaimana untuk merancang dan membantu industri buku secara lebih tersusun.

“Malah, ketika belajar juga saya dapat tawaran daripada pihak swasta dan mereka menawarkan saya satu jawatan yang sukar untuk saya lepaskan.

“Saya mengambil keputusan untuk ‘pencen awal’ sebagai penjawat awam dan memilih untuk membina karier dalam sektor swasta sehingga dinaikkan pangkat menjadi CEO di sebuah syarikat swasta,” katanya.

Namun, rezekinya telah tertulis untuk kembali menabur bakti dalam industri buku apabila ditawarkan tempat untuk menerajui Kota Buku pada 2022 sehinggalah sekarang.

Dalam pada itu, Adibah menjelaskan, menerajui satu organisasi dan dalam masa yang sama menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu bukanlah sesuatu yang mudah.

Ada ketikanya dia hanya dapat berjumpa anak-anak pada waktu pagi sahaja sebelum mereka ke sekolah.

Disebabkan tanggungjawab besar yang dipikul, ada ketikanya dia perlu pulang lewat malam dan pada ketika itu anak-anaknya telah tidur.

Oleh itu, dia perlu membahagikan masa yang sebaik-baiknya untuk kedua-dua perkara.

“Masa bekerja saya akan bagi 100 peratus komitmen untuk kerja dan begitu juga di rumah saya akan bagi 100 peratus komitmen sebagai seorang ibu untuk anak-anak.

“Tidak semestinya untuk menjadi seorang ketua yang hebat, kita perlu mengorbankan komitmen untuk keluarga.

“Semuanya atas diri kita sendiri dan kita yang menentukan arah untuk menjadi wanita yang hebat sebagai seorang pemimpin dan juga sebagai seorang ibu,” jelasnya.

Sebagai seorang ibu juga, Adibah suka memasak untuk anak-anaknya.

Dia mahu anak-anaknya menikmati juadah hasil air tangannya sendiri.

Malah, setiap pagi dia akan memasak dan bekalkan makanan untuk anak-anaknya ke sekolah.

“Rutin saya pada awal pagi, saya akan bangun dan sediakan ‘bento’ untuk anak-anak. Inilah salah satu cara untuk saya pastikan anak-anak sentiasa ingat kepada saya sehingga mereka dewasa.

“Seperti kita yang sentiasa ingat masakan ibu kita dan itu juga yang saya mahu anak-anak saya rasakan,” ungkap Adibah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN